PUTRAJAYA – Jangkitan baru Covid-19 dikesan dalam kalangan peniaga di pasar awam di Bahau dan Petaling Jaya yang dikaitkan dengan penularan kes di Pasar Borong Kuala Lumpur.
Ketua pengarah kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kes itu dianggap demikian kerana ia mempunyai sejarah perjalanan ke Pasar Borong Kuala Lumpur, salah satu kawasan tumpuan pengesanan wabak tersebut.
“Jadi kita anggap mereka dari kluster Pasar Borong Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media Harian Covid-19 di sini hari ini.
Noor Hisham menambah, pengesanan kontak rapat sudahpun dijalankan melibatkan kes terbabit.
Terdahulu, sebelum ini dua kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur diletakkan dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan tumpuan pengesanan dalam kalangan warga asing yang berisiko.
Mengulas lanjut Noor Hisham berkata, kes di pasar awam Taman Megah di Petaling Jaya melibatkan 60 peniaga yang kini sudh dianggap sebagai kontak rapat kepada peniaga yang dijangkiti.
Katanya, KKM berharap dapat mengesan semua yang berhubung dengan peniaga tersebut.
Tambahnya, pengesanan itu penting kerana saringan di kalangan kontak rapat berpotensi menemukan sehingga 30 peratus jangkitan daripada individu yang dikesan.
Media hari ini melaporkan, Pasar Awam Bahau di Jempol ditutup selama 14 hari untuk kerja-kerja pembersihan selepas seorang peniaga berusia 44 tahun disahkan positif.
Peniaga berkenaan disahkan positif pada 24 April dan 60 peniaga di pasar awam itu diwajibkan menjalani ujian saringan di Medan Niaga Bahau bermula esok.
Menurut laporan, seramai 12 pesakit disahkan Covid-19 di daerah Jempol.
Pasar pagi Taman Megah juga kini ditutup dan pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya sedang melakukan operasi pembersihan dan pembasmian kuman. – MalaysiaGazette
tabligh tahfiz pasar borong.