Hassan Rouhani. foto Agensi

TEHRAN – Iran merancang untuk membuka semula masjid di beberapa kawasan yang secara konsisten bebas daripada wabak koronavirus selepas melonggarkan sekatan perjalanan secara beransur-ansur.

Menjadi salah satu negara Timur Tengah yang paling teruk dilanda wabak koronavirus, Iran akan dibahagikan kepada wilayah putih, kuning dan merah berdasarkan jumlah jangkitan dan kematian, kata Presiden Hassan Rouhani.

Kegiatan di setiap wilayah akan dipantau sewajarnya sehingga daerah yang secara konsisten bebas daripada jangkitan atau kematian akan dilabel putih dan masjid dapat dibuka kembali supaya solat Jumaat boleh disambung semula.

Bagaimanapun, Rouhani berkata, label yang diberikan kepada mana-mana wilayah itu boleh berubah berdasarkan situasi semasa.Timbalan Menteri Kesihatan, Iraj Harirchi memaklumkan sebanyak 116 daerah di negara ini dikategori putih pada masa ini manakala 134 kuning.

Warga Iran telah kembali ke kedai, bazar dan taman sejak seminggu lalu sejak Tehran melonggarkan sekatan koronavirus.

Iran merekodkan peningkatan jumlah kematian di bawah 100 orang sejak 14 April lalu.

Kes kematian meningkat sebanyak lebih 60 dalam tempoh 24 jam kepada 5,710 dengan 90,481 kes jangkitan yang disahkan.

Mencari keseimbangan antara melindungi kesihatan awam dan ekonomi, Tehran tidak melakukan penutupan perniagaan seperti mana yang dilakukan di kebanyakan negara lain.

Namun, penutupan sekolah dan universiti serta acara budaya, agama dan sukan dilanjutkan. – MalaysiaGazette