Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Nilai keseluruhan bantuan dihulurkan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada pelarian Rohingya lebih RM7 juta termasuk pembinaan hospital medan di Cox Bazaar bernilai RM3.5 juta dan makanan serta peralatan bernilai RM4 juta.

Presiden UMNO merangkap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesemua bantuan itu dilakukan atas sifat kemanusiaan.

Katanya, beliau sendiri meninjau keadaan ratusan ribu pelarian di Cox Bazaar, Bangladesh dan mengarahkan pembinaan hospital di kem pelarian Kutupalong bagi memberi rawatan kesihatan kepada etnik itu.

“Saya terpanggil untuk mengulas mengenai isu pelarian Rohingya yang kononnya membuat pelbagai tuntutan, termasuk mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia.

“Ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, kerajaan pimpinan BN mengambil pendirian, segala bantuan dan sokongan disalurkan kepada Rohingya adalah di atas sifat perikemanusiaan.

“Seperti banyak negara lain serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pelarian Rohingya mesti dibela daripada pemusnahan etnik oleh rejim Myanmar.

“Selain hospital, bekalan makanan dan peralatan juga telah disalurkan kerajaan Malaysia ketika itu kepada pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh. Misi bantuan itu adalah sumbangan kerajaan dengan kerjasama beberapa syarikat penerbangan yang membantu membawa barangan itu,” katanya dipetik dari status yang dimuatnaik menerusi akaun Facebooknya.

Pada sidang media khas semalam, Ahmad Zahid mendedahkan, dana dari sebuah negara Timur Tengah yang dijanjikan untuk diberi kepada Malaysia bagi membantu pelarian etnik Rohingya tidak diterima oleh kerajaan ketika BN memerintah.

Sebaliknya, kata beliau, dana dengan jumlah yang besar itu difahamkan diterima oleh kerajaan yang mengambil alih pemerintahan selepas BN tidak lagi bernasib baik untuk mentadbir negara.

Menurutnya, kerajaan berusaha untuk mendapakan bantuan tersebut, namun tidak ada satu sen pun diterima oleh kerajaan ketika itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan, pelarian Rohingya benar-benar memerlukan pembelaan dan ia tidak bermakna kerajaan Malaysia ketika itu mahu mencampuri hal-ehwal dalam negeri Myanmar.

Malah, ujarnya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan Perhimpunan Solidariti Ummah Rohingya yang diadakan di Stadium Mini Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Disember 2016 bukanlah untuk menganggu hal-ehwal Myanmar.

Kerajaan juga katanya, berpendirian mereka dibenarkan bekerja di beberapa industri terpilih sebagai persediaan ditempatkan di negara ketiga.

“Oleh kerana pelarian UNHCR tidak ada hak terhadap pelajaran, pekerjaan dan perniagaan, kerajaan ketika itu mengambil pendekatan yang terkehadapan bagi membolehkan pelarian ini menyara keluarga sendiri.

“Inisiatif membenarkan etnik Rohingya ini bekerja secara tidak langsung dapat menangani isu-isu pemerdagangan orang dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau yang merupakan bekas Menteri Dalam Negeri menyatakan, pada 2017 kerajaan Malaysia dengan kerjasama kerajaan Qatar menerusi Qatar Development Fund (QDF) bersetuju memberi penajaan dana terhadap tiga projek tumpuan iaitu memberi latihan kemahiran dalam sektor perladangan dan perkilangan, mengendalikan prasekolah dan sekolah rendah bagi anak-anak Rohingya serta skim perlindungan insuran untuk rawatan dan perubatan.

Qatar juga, katanya, meminta Malaysia menyediakan satu pelan perlindungan insurans menerusi sebuah syarikat insurans bagi memastikan pelarian Rohingya itu mendapat rawatan perubatan yang terbaik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast