Penduduk, Saifullah Siman mengimamkan ahli keluarganya menunaikan solat terawikh pada malam pertama bulan Ramadhan di ruang halaman luar rumah mereka berikutan Perintah Kawalan Pergerakan masuk hari ke - 36 bagi membendung wabak Covid - 19 di Segambut, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 23 APRIL 2020

MELAKUKAN perubahan, termasuk kemahuan untuk mengubah tingkah laku dan perubahan nilai dari dalam hati dan corak pemikiran dalam diri kita sendiri disebut juga sebagai Seni Mengubah Corak Pemikiran. Watak seseorang yang tidak bersedia mengikuti perubahan atau peraturan dengan alasan apapun,
seringkali nampak merugikan diri sendiri terutamanya ketika berhadapan dengan konflik atau krisis yang di luar jangkaan. Justeru, adalah menjadi satu keperluan buat para ibu bapa
untuk mengetahui beberapa tip keibubapaan semasa kuarantin bagi memastikan segala bentuk pola pemikiran, perasaan dan tingkah laku ahli keluarga adalah terkawal. Berikut merupakan tip yang boleh digunakan oleh para ibu bapa dalam memastikan pengurusan diri dan keluarga adalah terkawal sepanjang tempoh kuarantin.

1. Memperuntukkan masa teraputik bersama ahli keluarga. Peruntukan masa khas untuk bercakap secara perseorangan dengan setiap ahli keluarga adalah amat penting dalam mewujudkan keamanan dan kedamaian dalam hubungan
kekeluargaan terutama dalam tempoh masa yang penuh cabaran. Pastikan masa yang diperuntukkan itu sangat privasi hanya antara anda dan ahli keluarga itu sahaja iaitu seorang demi seorang. Proses ini merupakan perhubungan teraputik antara
seorang ayah atau ibu dengan seorang anak demi anak. Terdapat beberapa hal yang perlu diberikan keutamaan ketika berlakunya proses hubungan teraputik ini iaitu tidak melabelkan mereka, tidak menghukum atau membandingkan mereka sebaliknya ibu bapa perlu berusaha memperkasakan mereka sebagai individu yang unik dan berbeza. Tempoh masa inilah sesuatu hal yang amat bermakna kerana tanpa kita sedar ianya adalah peluang dan kesempatan untuk mengenali diri anak-anak dengan lebih dekat dan penuh ikhlas. Dalam erti kata lain, ianya disebut
sebagai perbualan dari hati ke hati. Dalam proses ini, adalah penting bagi ibu bapa untuk memberikan perhatian kepada perubahan pemikiran, perasaan dan tingkah laku anak-anak terutamanya pandangan mereka terhadap Covid-19.

2. Kekal positif iaitu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak dari segi pemikiran, perasaan, dan tingkah laku. Didik diri dan anak-anak untuk menerima ujian Allah dengan hati terbuka dan tenang. Perkara penting dalam hal ini ialah memberi fokus kepada apa yang sedang dilakukan bersama-sama dan memberi
sokongan kepada semua ahli keluarga agar kekal tenang. Elakkan daripada terlalu banyak memberikan jaminan yang tidak pasti sebaliknya berterus-terang tentang krisis yang sedang dihadapi agar setiap ahli keluarga boleh memahami apakah perkara yang sedang berlaku. Penerangan ini biarlah bersesuaian dengan tahap pemahaman dan umur anak-anak. Usaha terlalu berfakta yang sukar difahami oleh mereka.

3. Berstruktur dan berjadual. Ibu bapa juga perlu mengubah rutin harian dengan menyediakan jadual baru yang bersifat fleksibel tetapi berstruktur. Setiap jadual atau rutin harian yang berubah itu perlu disantuni bersama dengan persetujuan anak-anak atau ahli keluarga yang lain. Ketahuilah bahawa ini adalah tempoh masa yang paling sesuai dalam melatih diri serta anak-anak agar lebih berdisiplin dan mengikut peraturan. Bagi memastikan tip ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin, maka ibu bapa perlu menyediakan jadual kepada diri anda sendiri dalam mengubah rutin harian. Setelah itu, sediakan jadual aktiviti anak-anak setelah hasil perbincangan bersama-sama. Jadual yang telah disediakan itu perlu dilaksanakan termasuk juga jadual tugas hakiki dan tugasan persekolahan anak-anak. Jadual ini biarlah
bersesuaian dengan keadaan semasa dan tidak terlalu rigid. Utamakan jadual yang boleh mengelak kebosanan serta meningkatkan produktiviti masing-masing.

4. Ubah tingkah laku negatif kepada positif. Kenal pasti antara tingkah laku yang negatif sebelum ini dan mengubahnya kepada tingkah laku positif secara perlahan-lahan. Berikan tempoh masa yang sesuai dan tidak terlalu mendesak. Sekiranya ibu bapa
menyedari bahawa terdapat beberapa tingkah laku negatif dalam kalangan anak-anak atau diri sendiri, maka manfaatkan masa yang ada sepanjang tempoh PKP ini untuk memperbaikinya secara perlahan-lahan. Sekiranya anak-anak sukar untuk
mengikut peraturan sebelum ini, maka ibu bapa boleh melatih mereka dengan rutin harian yang lebih fleksibel bersesuaian dengan kedaan masa kini. Selain itu, ibu bapa boleh melakukan senaman ringkas di rumah, menjaga kesihatan dan kebersihan diri, serta meningkatkan amal ibadat bersama-sama. Peruntukan masa yang berkualiti dalam melatih diri dari segi amal ibadat dan kerohanian. Rutin yang baru boleh memastikan waktu tidur dan rehat yang secukupnya kepada ahli keluarga.

5. Bertenang dan uruskan tekanan. Ibu bapa perlu sentiasa bertenang dalam cara berfikir, mengawal perasaan dan emosi serta mengucapkan perkataan yang baik. Selain itu, ibu bapa perlu meberangkan kepada anak-anak bahawa mereka bukan
bersendirian dalam mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Di samping itu, ambil masa untuk bersendirian dan merangka perancangan yang baru.

6. Bercakap tentang Covid-19. Kesediaan ibu bapa dalam menerangkan maklumat yang jelas dan betul berkaitan Covid-19 adalah adalah langkah bijak. Ibu bapa perlu bersifat terbuka dan mendengar pandangan anak-anak. Dalam hal ini juga, adalah
amat penting agar ibu bapa memerhati dan peka dengan perubahan tingkah laku anak-anak yang mungkin terkesan dengan Covid-19. Ianya adalah tanda ibu bapa memberi sokongan emosi dan moral kepada anak-anak Memang ada kecenderungan bagi seseorang untuk sukar diajak berubah terutamanya ketika berhadapan dengan krisis. Tingkah laku orang-orang yang ingkar ini adalah tidak bersedia berubah meskipun mereka sedar akan risiko atau impak yang bakal berlaku sekiranya melanggar peraturan. Oleh yang demikian, disiplin diri setiap ahli keluarga hanya boleh dibentuk menerusi gaya keibubapaan yang berkesan khususnya dalam tempoh kuarantin ini.

Oleh: Siti Fatimah Abdul Ghani K.B,P.A
Kaunselor Berdaftar Merangkap Ketua Seksyen Perkhidmatan Intervensi Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar, UPM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast