Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir sebagai pengerusi baru bermula 1 Mei 2020 menggantikan Tan Sri Samsudin Osman yang akan bersara.

KWSP dalam satu kenyataan berkata, Ahmad Badri pernah memegang jawatan Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan dan berkhidmat di sana selama hampir 30 tahun.

Beliau merupakan ahli Panel Pelaburan KWSP sejak tahun 2014 dan berpengalaman luas dalam bidang pelaburan strategik, pengurusan pinjaman, pasaran kewangan, dan sains aktuari.

Ahmad Badri juga menganggotai beberapa lembaga pengarah termasuk Bank Negara Malaysia, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), dan Tenaga Nasional Berhad.

Ketua pegawai KWSP, Alizakri Alias berkata, KWSP amat bertuah menerima seorang pengerusi yang disegani dan berpengalaman dan amat layak untuk memberikan panduan dalam waktu mencabar ini.

“Kami pasti dengan kepimpinan beliau KWSP akan mencapai tahap kecemerlangan serta perkhidmatan pelanggan yang lebih baik kepada ahli kami,” katanya.

Alizakri berkata, sebagai pengerusi KWSP terdahulu, Samsudin menjadi pemacu utama dalam memastikan serta menekankan tadbir urus yang baik, profesionalisme dan kecemerlangan dalam memenuhi mandat KWSP untuk melindungi simpanan ahli dan memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Beliau berkata Samsudin meninggalkan legasi pasukan kerja profesional yang mengurus salah satu dana simpanan persaraan terbesar dan paling dihormati di dunia.

Alizakri juga berkata dengan kebijaksanaan dan bimbingan Shamsuddin yang tegas telah menjadikan KWSP salah satu organisasi yang paling dihormati di rantau ini.

KWSP juga mengumumkan persaraan Azman Shah Haron, yang menganggotai Lembaga KWSP sebagai wakil majikan sejak tahun 2007.

KWSP berkata, Azman merupakan presiden Persekutuan Majikan Malaysia dan adalah ahli Lembaga Pengarah pelbagai syarikat, termasuk Alangka-Suka Hotels dan Resorts Bhd, serta anak syarikat Advance Synergy Bhd, termasuk Cherating Holiday Villa Bhd.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast