Anggota polis mengagihkan juadah berbuka puasa kepada penduduk Rohingya di Selayang Baru berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di Selayang Baru, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 27 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR- Badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan disarankan untuk menghantar barangan sumbangan mereka ke pusat-pusat operasi yang dibuka di setiap kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Langkah itu, menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memastikan semua penduduk di kawasan berkenaan mendapat agihan sumbangan secara adil dan mengelakkan keciciran.

“Sekiranya ada NGO atau individu yang mahu memberikan sumbangan makanan, saya sarankan mereka hantar ke pusat-pusat operasi yang dibuka di kawasan tersebut dan akan diedarkan oleh petugas-petugas barisan hadapan.

“Saya sendiri pernah melihat sendiri dan dimaklumkan oleh NGO ini, apabila mereka menghantar bekalan makanan ke dalam kawasan PKPD terdapat keluarga yang telah pun menerima sumbangan sebelum itu.

“Jadi bagi mengelakkan hanya keluarga tertentu sahaja yang mendapat sumbangan dan tidak mahu ada yang tercicir, jadi lebih elok jika kita kumpulkan di pusat operasi sebelum diedarkan oleh petugas-petugas barisan hadapan,” katanya semasa sidang media hari ini.

Dalam pada itu, polis telah menangkap 683 individu ingkar PKP semalam yang mana 598 telah direman manakala 85 individu dijamin polis.

Seramai 978 individu telah dituduh di mahkamah.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast