Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Bayangkan gaji dan elaun seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di institusi kewangan dan pengerusi lantikan politik dalam agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berjumlah dari RM50,000 hingga RM2 juta sebulan.

Daripada jumlah lantikan itu, kerajaan membelanjakan ratusan juta ringgit sebulan wang rakyat untuk membayar gaji mereka sedangkan golongan marhaen berdepan dengan kehilangan pendapatan, pekerjaan dan gaji dipotong kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pendemik Covid-19.

Namun, jumlah gaji CEO dan pengerusi GLC sekarang ini yang dinikmati Ahli Parlimen kerajaan, jauh lebih tinggi dan lumayan berbanding bayaran diterima penjawat bagi jawatan itu sekitar tahun 70-an.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali ketika mengulas isu berkaitan jumlah gaji dan lantikan secara politik oleh kerajaan berkata, beliau ada berkomunikasi dengan pemimpin veteran dan berpengalaman, Tengku Razaleigh Hamzah.

Menurutnya, walaupun bekas Menteri Kewangan itu agak keberatan pengalamannya dikongsi namun akur setelah dipujuk Ibrahim dengan alasan sebagai maklumat untuk ilmu, motivasi dan kepimpinan tauladan.

Tengku Razaleigh Hamzah
Tengku Razaleigh Hamzah

Kata Ibrahim, Tengku Razaleigh atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li ada memberitahunya ketika di zaman 70-an, gaji paling tinggi diluluskan Parlimen untuk Perdana Menteri sahaja sebanyak RM3,750 sebulan tidak termasuk lain-lain elaun.

“Apabila Ku Li dilantik Pengarah Urusan Bank beberapa tahun selepas itu (tahun 70-an), dia hanya menerima gaji penuh RM3,750 sebulan dengan tiada elaun lain.

“Ku Li beritahu saya, bonus ketika itu dihadkan kepada dua bulan gaji sahaja. Tambahan pula dia juga menyandang jawatan Pengerusi Executive Pernas yang tidak bergaji dan tidak ada elaun. Bahkan, tidak ada elaun keraian atau elaun seberang laut.

“Kalau ada kerja di seberang laut, katalah semasa hendak ambil alih Sime Darby, London Tin, Highlands dan Lowlands serta lain-lain lagi, tugas itu (Pengerusi GLC) mesti digabungkan dengan kerja bank (Pengarah Urusan Bank) untuk menjimatkan belanja,” kata Ibrahim kepada MalaysiaGazette, mendedahkan komunikasinya dengan Tengku Razaleigh menerusi aplikasi Whatsapp pagi tadi.

Pada 13 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, Ahli Parlimen kerajaan yang tidak dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri akan diberi tanggungjawab sebagai pengerusi GLC.

Kata beliau, ini kerana mereka layak untuk dipertimbangkan ke jawatan itu.

Menurut Ibrahim, Ku Li juga turut menceritakan, jika beliau ke seberang laut atas utusan rasmi kerajaan, hanya untuk dua tiga hari sahaja dan terus pulang ke tanah air sebaik selesai.

Dedah beliau, Ahli Parlimen Gua Musang itu juga tidak menerima gaji sebagai Pengerusi Eksekutif Petronas walaupun jawatan pertama yang ditakrifkan bertaraf menteri oleh kerajaan ketika itu.

“Tidak ada kereta atau pemandu dibekal. Semuannya sendirian berhad termasuk belanja minyak dan bayaran kerja lebih masa pemandu.

“Kalau menyandang jawatan pengerusi, syarikat-syarikat subsidiary juga tidak dibayar elaun. Dia hanya diminta menerima gaji sebanyak RM4,000 sebulan dari Petronas, iaitu beberapa bulan sebelum dilantik sebagai Menteri Kewangan dan menjadi penanda aras untuk menentu tangga gaji mereka yang dilantik sebagai pengarah dan pengurus di bawah pimpinannya.

“Itulah bayaran yang dibuat kepada mereka yang dipilih memimpin GLC kerajaan dalam tahun 70-an. Semua perkara ini ada tersimpan dalam Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah badan-badan ini dan mesti ada dalam rekod kerajaan,” katanya mencerita lebih lanjut mengenai kisah Ku Li di era 70-an.

Jelas Ibrahim, beliau merasa sedih dengan apa yang berlaku hari ini, apabila negara berdepan dengan wabak penyakit, rakyat diminta bertolak ansur dan berkorban walaupun mereka kehilangan pekerjaan, gaji yang kecil dipotong lagi dan sebagainya sebab PKP.

Sedangkan, katanya watak-watak korporat dan Ahli Parlimen serta pemimpin lantikan politik menerima gaji puluhan ribu, malah jutaan ringgit setiap bulan.

Beliau mendedahkan gaji CEO bank ada yang dibayar serendah RM283,333 hingga setinggi RM2.31 juta sebulan pada tahun 2017.

Itu tidak termasuk lantikan politik bagi jawatan Duta Khas bertaraf menteri ke Timur Tengah dan China yang dibayar gaji RM53,000 sebulan, manakala Pengerusi GLC pula serendah RM254,00 hingga RM425,000 sebulan.

“Ya Allah hebatnya Tengku Razaleigh. Tetapi ramai rakyat tidak tahu, dan Ku Li kekal dengan sifatnya merendah diri, tidak bermegah-megah dengan jawatan dipegangnya sebelum ini.

“Selepas berkomunikasi dengannya, saya minta izin hendak berkongsi dengan lain-lain pihak apa yang beliau catatkan itu, tetapi Ku Li tidak mahu ia dihebohkan, sebaliknya apa yang diceritanya itu hanya untuk pengetahuan saya saja.

“Saya pula rasa amat berguna kalau saya kongsikan maklumat ini kerana maklumat ilmu yang baik Allah minta disebarkan sebagai dakwah perkongsian bagi kemajuan ummah di jalan yang di redhai-Nya,” katanya.

Ibrahim menjelaskan, sayang sekali semua kisah yang berlaku di era pemerintahan tahun 70-an tidak akan diketahui sebagai ilmu yang boleh memperkasakan tamadun ummah di jalan yang betul.

Katanya, tidak salah beliau sepanjang 45 tahun menyokong Tengku Razaleigh sebagai role model pemimpinnya.

“Setelah dipujuk, akhirnya Ku Li mengizinkan saya berkongsi dengan masyarakat, tetapi dengan syarat tidak membesarkan namanya.

“Bagi Ku Li, ia satu kesalahan kerana khidmatnya adalah untuk membantu setakat termampu negeri Kelantan dan rakyat Kelantan yang masih mundur dan terkebelakang dalam semua lapangan.

“Ku Li katanya, dia yang mampu sikit-sikit wajib korban dan sebab itu juga beliau memilih Ulu Kelantan (Gua Musang) untuk jadi Ketua Bahagian dan kemudian wakil rakyat kerana kawasan itu tidak ada jalan, tidak ada sekolah, bahkan banyak perkara (infrastruktur) tidak ada ketika itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

6 Komen

  1. Nak samakan gaji zaman 70an dgn abad ke 21 dah hilang akal ke ibrahim ni? Zaman 70an bawa rm5 ke kedai boleh penuh 1 kereta sorong dia tak tahu ke? Bkn ke dia sdah hidup pd zaman itu? Zaman sekarang angka kelihatan besar..tapi nilai nya ciput.

  2. RM 5 jadi RM 500 citer troleylah kn.. citer gaji RM4k jadi RM2j , oklah amik bank punya tak kn nak amik petronas ( nnti kata cabarn dulu tak sama skrg).. nk jadi giler ke apa.

  3. Jangan lah tngk@baca bab jumlah gaji tu.
    Baca & ambil perbandingan juga, dgn jawatan yg tak bergaji & bandingkan dgn keadaan rakyat yg terperit sekarang.

  4. Apa jua beban negara rakyaat yg menanggong nya x kira sapa atau parti apa yg memerentah.. 30 puluh tahun bekerja masih guna kereta terpakai moto pun 100 cc kebawah…ada yg spai pencen tapak nak buat rumah pun elek.

  5. apa pun aku benci ahli politik terlibat dalam perniagaan…

    ahli politik adalah wakil untuk rakyat… bukan untuk berniaga.. kalau nak berniaga sila letak jawatan YB tu… buang title YB..

  6. Sama macam sime darby plantation,pekerja d tahan jangan ot n kerja normal,sekat gaji pekerja nak cari duit lebih,sedangkan CEO,GM per semua tak pulak d kurangkan gaji..Ini la sistem Dajjal dalam pemerintahan.

Comments are closed.