PUTRAJAYA – Semua kenyataan dan gambar yang dimuat naik di media sosial kebelakangan ini berkenaan kad pengenalan (MyKad) palsu telah diteliti dan disemak Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata selain itu, JPN juga telah membuat laporan polis semalam berhubung laman sesawang yang mengiklan dan menjual MyKad palsu dalam talian.
“Siasatan dan tindakan lanjut bakal diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap jenayah pemalsuan MyKad yang mencemarkan nama baik JPN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini mengenai isu pemalsuan MyKad yang tular di media sosial.
Menurut Hamzah, gambar-gambar MyKad yang tular ketika ini adalah gambar lama yang mempunyai kaitan dengan kes pemalsuan MyKad di Pulau Pinang pada 2019 yang dimuat naik semula.
Bagaimanapun, katanya tiada gambar dan maklumat pemalsuan Mykad yang baharu dapat dikenal pasti.
Menurutnya, PDRM telah membuat tangkapan terhadap individu-individu yang terlibat dengan kes pemalsuan MyKad di Pulau Pinang dan mereka sedang menjalani prosiding perbicaraan di mahkamah.
Hamzah menegaskan kerajaan memandang serius kes-kes yang melibatkan pemalsuan MyKad sama ada ia melibatkan kakitangan JPN atau pun sindiket tertentu dan PDRM serta JPN akan terus bekerjasama melalui “Ops Biru” dalam hal tersebut.
Katanya satu pasukan petugas khas juga telah ditubuhkan bagi menyiasat kes-kes pemalsuan MyKad bagi memburu dalang-dalang yang terlibat.
“Kerajaan tidak akan sama sekali melindungi dan berkompromi terhadap sebarang salah laku berkenaan perkara ini,” katanya.
Mengenai desakan pihak tertentu agar kerajaan menukarkan MyKad sedia ada kepada MyKad baharu bagi menangani pemalsuan MyKad, Hamzah berkata JPN dari semasa ke semasa sentiasa mengkaji penambahbaikan dan pembaharuan terhadap MyKad khususnya dari aspek ciri keselamatan.
JPN juga telah menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada dengan mengetatkan proses semakan dan kelulusan dokumen pengenalan diri di samping memantapkan lagi pemantauan dalam sistem JPN, katanya.
Orang ramai, katanya diminta menghentikan penyebaran mesej yang bersifat berita palsu di media sosial bagi mengelak kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan rakyat atau berhadapan dengan tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.- BERNAMA