Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan menasihatkan rakyat tidak perlu bimbang sekiranya berlaku penularan wabak Covid-19 gelombang ketiga dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei ini.

Ini kerana, kerajaan telah membuat persediaan secukupnya sekiranya berlaku kluster baharu dengan menyediakan peralatan mencukupi di seluruh negara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, oleh itu, rakyat tidak boleh menyamakan Malaysia dengan Jepun yang mana berlaku wabak berulang selepas kerajaan negara itu membenarkan kemasukan pelancong asing.

“Berlakunya gelombang baharu di Jepun kerana mereka buka pintu negaranya dan membiarkan warga luar masuk menyambut musim bunga Sakura di Hokkaido.

“Ketika itu ramai yang datang dari luar dan berlaku kes Covid-19 import. Berbeza dengan Malaysia, kita masih tutup pintu kemasukan warga asing dan lapangan terbang kita tidak terima pelancong.

“Manakala rakyat kita dari luar yang pulang ke tanah air pun, mesti melalui proses kuarantin wajib selama 14 di pusat kuarantin yang kita tetapkan. Sudah tentu ada perbezaa antara kita dengan Hokkaido,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Bagaimanapun, kata Ismail Sabri, persediaan yang dilakukan kerajaan ketika berdepan dengan wabak Covid-19 memang sudah ke arah jumlah tertentu, walaupun jumlah yang berada di hospital dan menerima rawatan kurang dari disasarkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast