Kakitangan KPJ Ampang membuat pemeriksaan saringan kesihatan secara pandu lalu bagi membendung penularan pandemik Covid-19 pada fasa dua Perintah Kawalan Pergerakan di KPJ Ampang, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 02 APRIL 2020

PUTRAJAYA – Kit ujian pantas antigen daripada Korea Selatan telah diterima Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan telah diuji.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kini kakitangan KKM dalam proses pembelajaran bagi menggunakan kit ujian pantas itu.

“Hari ini kita telah terima sampel dan dalam proses pembelajaran, keputusan akan dapat esok atau lusa.

“Kita akan terima lagi 100,000 ujian pantas itu dalam minggu ini.

“KKM perlu melatih kakitangan kita untuk menjalankan ujian dan mula hari ini,” katanya dalam sidang media di KKM, hari ini.

Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

Sabtu lalu, Noor Hisham berkata, KKM sudah mengagihkan 50,000 kit ujian pantas antigen yang dibeli dari Korea Selatan ke Sabah dan Sarawak serta pintu masuk utama negara.

Kit ujian itu diagihkan masing-masing 10,000 ke Sabah dan Sarawak, manakala 15,000 untuk sempadan darat di Johor Bahru.

Sebanyak 15,000 lagi diagihkan di pintu masuk utama negara di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). – MalaysiaGazette