Petugas KKM membuat saringan kesihatan ke atas peniaga dan penduduk ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari ke-49 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Jalan Pudu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2020

PUTRAJAYA – Selepas lima bulan menghadapi penularan Covid-19, semua petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima berita gembira, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya akan menyusun semula strategi dalam mendepani wabak Covid-19.

“Petugas barisan hadapan dan juga kita di KKM bekerja siang malam tak berhenti, dah lima bulan, tak kenal hari minggu ke hari kerja. Tetapi apa yang pasti hari ini kita nampak keputusan atau hasil daripada pengorbanan kita dimana kes dah semakin berkurangan.

“Mungkin dalam masa ini kita akan menggunakan masa, mungkin seminggu dua untuk kita memberi cuti kepada warga kerja KKM secara bergilir gilir.

“Malah kita juga akan memberi kaunseling kepada mereka (petugas barisan hadapan) dalam untuk mereka dapat pertahankan diri untuk menghadapi kalau ada peningkatan kes lagi,” katanya dalam sidang media, di KKM hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan media samada ada kebarangkalian petugas barisan hadapan yang menghadapi tekanan melampau di tempat kerja.

Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

Justeru itu katanya, KKM akan mengkaji semula perancangan-perancangan yang pernah digunakan selama ini.

Antaranya, melakukan strategi semula seluruh tenaga kerja KKM, peralatan, hospital dan makmal ujian wabak Covid-19.

“Ini adalah satu dugaan dan cabaran kepada kita semua, daripada barisan hadapan kepada semua warga kerja KKM.

“Tetapi apa yang pasti kita adalah pertahanan terakhir untuk mengelakkan satu bencana besar kepada negara kita iaitu melibatkan kematian dan juga pertambahan kes,” katanya. -MalaysiaGazette