Warga asing yang telah diperiksa kesihatan dan dokumentasi oleh pelbagai agensi penguatkuasaan dan kesihatan diarah meninggalkan kawasan Jalan Masjid India berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 4 susulan penularan wabak Covid-19 di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 01 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Dalam usaha mengawal penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja warga asing di negara ini para majikan disaran supaya menanggung separuh daripada kos saringan ke atas pekerja mereka itu.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, langkah itu dilihat praktikal bagi mengurangkan beban ekonomi kedua-dua pihak sekaligus dapat mengelak daripada berlakunya penyebaran pandemik daripada kluster itu.

Malah katanya, usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian Covid-19 juga akan menjadi lebih mudah dan berkesan.

“Saranan ini bukan sahaja dapat memupuk sikap tanggungjawab warga asing dalam negara, tetapi juga dapat mengurangkan masalah kewangan kepada majikan.

“Biar pun saringan Covid-19 ini menelan perbelanjaan yang tinggi, namun kerajaan tidak wajar menanggung sepenuhnya kos saringan ke atas mereka kerana ianya tidak adil untuk orang tempatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dominic memberitahu, komitmen majikan dan pekerja untuk menanggung kos perbelanjaan saringan ini perlu diimplementasikan untuk meringankan beban kerajaan dan tekanan para petugas barisan hadapan yang sedang bertungkus-lumus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan.

Ujarnya, majikan harus mempertimbangkan saranan ini untuk menyokong usaha kerajaan memerangi Covid-19 dan mengelakkan berlakunya gelombang kedua dalam negara seperti Kanada, Singapura dan sebagainya. – MalaysiaGazette