PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan Malaysia kini mempunyai pesakit positif Covid-19 pertama yang diuji dengan ubat antiviral, Remdesivir.
Ini kerana kata Noor Hisham, KKM telah mula menerima ubat antiviral itu untuk merawat 100 pesakit Covid-19.
Ujian itu dijalankan dengan kerjasama rapat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Setakat ini kita sudah mula terima ubat untuk 100 pesakit. Jadi ubat itu kita terima dan kita agih-agihkan kepada semua hospital.
“Jadi, kes pertama telah kita masukkan dalam percubaan klinik. Tetapi sekarang ini kalau kita tengok ICU (unit rawatan rapi) pun pesakit sudah kurang. Jadi bakinya kita akan gunakan ubat Remdesivir untuk dijalankan kajian.
“Kita pun sudah mula rekrut pesakit pertama di Hospital Sungai Buloh iaitu yang pertama di Asia Tenggara. Jadi kita akan masukkan lebih lagi pesakit-pesakit untuk penyelidikan. Yang ini makan masa untuk dapat kajiannya,” katanya pada sidang media harian di Kementerian Kesihatan Malaysia, hari ini.
Noor Hisham berkata, laporan kajian berkenaan bermungkinan akan siap pada tempoh enam bulan.
Setelah siap laporan, jelasnya, ia akan dihantar ke WHO.
“Lambat lagi, sebab kena hantar ke WHO dan mereka akan terima laporan satu dunia. WHO ada protokol penyelidikan. Mungkin dalam tempoh enam bulan,” katanya.
Untuk rekod, Remdesivir merupakan antara ubat pertama yang disebut sebagai rawatan untuk Covid-19 dan ujian klinikal secara rawak kini berada pada peringkat lanjutan.
Malah saintis Amerika Syarikat juga mengakui Remdesivir berkesan untuk merawat Covid-19. – MalaysiaGazette















