Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pejabat Pos diberi kebenaran oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) untuk menjalankan urus niaga pembaharuan Lesen Memandu Malaysia dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan persendirian.

Ini selaras dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) olehPerdana Menteri yang membenarkan semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan untuk beroperasi semula bermula semalam.

”JPJ memahami rungutan orang ramai berkenaan dengan pembukaan kaunter urusniaga di pejabat JPJ hanya untuk urusan kenderaan perdagangan dan bagi beberapa jenis urusniaga sahaja.

”Sebenarnya, pelaksanaan pembukaan urus niaga bagi kaunter JPJ adalah dilaksanakan secara berperingkat bagi mengurangkan risiko penyebaran wabak pandemik Covid-19 yang melanda negara ini.

”Justeru bagi menyokong kelangsungan ekonomi, pembukaan urus niaga berperingkat ini adalah memfokuskan kepada kenderaan perdagangan ataupun komersial sahaja. Seterusnya, secara beransur-ansur JPJ akan membuka kaunter urus niaga bagi urusan lain termasuk berkaitan dengan kenderaan persendirian,” katanya.

Walaupun begitu, kenderaan persendirian masih tertakluk terhadap pengecualian pembaharuan LKM dan Lesen Memandu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini (PKP).

Sehubungan itu, orang awam dibenarkan untuk memandu kenderaan jika LKM ataupun lesen memandu telah tamat tempoh dalam waktu PKP ini dengan syarat insurans kenderaan masih berkuat kuasa. – MalaysiaGazette