Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdaganggan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim (dua kanan) dan Ketua Kluster Barangan Pengguna Bergerak Pantas (FMCG) Shopee Malaysia, Tan Ming Kit (kiri) ketika Taklimat Kempen Selangor E-Bazar Raya Shopee di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam. foto AFIQ RAZALI, 05 MEI 2020

SHAH ALAM – Tindakan kerajaan Negeri Selangor menangguhkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) tidak bertentangan dengan undang-undang.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan, Selangor mempunyai bidang kuasa sendiri apabila menangguhkan PKPB termasuk tidak membenarkan semua aktiviti ekonomi beroperasi sepenuhnya.

“Saya percaya keputusan yang dibuat oleh Selangor berada dalam lingkungan dan bidang kuasa yang dibenarkan oleh undang-undang. Sebab itu kita percaya, peralihan masa kita kena melakukan tindakan berhati-hati.

“Selepas kita ratakan lengkung itu (Covid-19), kita tak boleh berasa selesa atau kurang berhati-hati yang mungkin boleh menyebabkan kluster-kluster yang besar seperti kluster Sri Petaling wujud sebelum ini.

“Saya percaya dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan Negeri Selangor berdasarkan siri mesyuarat, penilitian dan juga perhatian daripada setiap pegawai agensi.

“Sebab itu kita utamakan soft landing daripada crash landing,” katanya pada sidang media di SUK Selangor hari ini.

Semalam, Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan kerajaan negeri kemungkinan tindakan undang-undang boleh diambil oleh pihak industri jika ekonomi tidak dibuka semula di bawah PKPB seperti yang diputuskan oleh kerajaan pusat.

Menurut Mohamed Azmin, keputusan kerajaan persekutuan membuka semula ekonomi adalah sah dari segi undang-undang di bawah Akta 342.

Dalam pada itu, Amirudin menegaskan sebelum PKPB dengan membenarkan sektor ekonomi dibenarkan beroperasi semula, Kerajaan Negeri Selangor terlebih dahulu mengadakan siri mesyuarat.

“Kita telah mengadakan mesyuarat tentang hal ini sebelum lagi arahan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) diadakan.

“Peneilitian telah dibuat oleh setiap agensi termasuk PBT-PBT bagaimana kita ingin melaksanakan pembukaan ekonomi walaupun pada ketika itu kita berada dalam Fasa ketiga PKP.

“Selepas mesyuarat MKN yang berlangsung pada Isnin lepas, Rabu selepas itu saya adakan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor (MKNNS) untuk meneliti juga persoalan ini.

“Selepas mendapat pengumuman pada 1 Mei, kerajaan negeri telah mengadakan mesyuarat pada 2 Mei dan juga 3 Mei, juga sebahagian besar daripadanya membincangkan hal ini, pertamanya pada 3 Mei,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan Negeri Selangor mengambil iktibar terhadap negara lain apabila mementingkan soal ekonomi berbanding nyawa rakyat.

“Kita ada pengalaman macam mana Amerika Syarikat yang memikirkan mata pencarian selalu, dan akhirnya angka Covid-19 mencecah jutaan kes. Kita juga melihat pengalaman kita dengan PKP yang ketat dan berjaya menstabilkan graf Covid-19.

“Apa pentingnya sekarang adalah bagaimana kelakuan kita, adakah kita kekalkan penjarakan sosial. Pengalaman negara lain selepas angka 0 ia tetap datang kembali, bagaimana kita tangani Covid-19 ini, bukan duduk bersembunyi di rumah.

“Pemilik perniagaan mereka harus bertanggungjawab ke arah itu, rakyat juga ada tanggungjawab. Softlanding itu pendekatan terbaik sesuai kita serasikan dalam keadaan semasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette