Anggota tentera membuat kawalan keselamatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di Selayang Baru, Selangor. foto IQBAL BASRI, 30 APRIL 2020

PUTRAJAYA – Tidak timbul sebarang masalah mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai pusat kuarantin khususnya yang melibatkan sesuatu kawasan diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebaliknya menegaskan, tindakan warganegara asing yang melarikan diri dari pusat kuarantin bukan bermakna SOP KKM lemah kerana mereka terbabit boleh diambil tindakan tegas.

“Ini bukan masalah SOP, kalau kita lihat gelombang pertama kita ada warganegara China yang lari dari pusat kuarantin.

“Tetapi yang pasti mereka ini bukan positif, mereka ini dikuarantin sebab terdedah kepada kes-kes yang positif.

“Jadi setakat ini kita maklum, kita sudah buat laporan polis dan pihak polis sedang ambil tindakan kepada mereka yang lari daripada pusat kuarantin,” katanya pada sidang media hariannya di ibu pejabat KKM, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan tujuh warga asing dipercayai mempunyai kaitan Covid-19 dilaporkan melarikan diri dari pusat kuarantin di Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Media tempatan melaporkan, individu terbabit merupakan warga Indonesia dan Bangladesh yang tinggal di sekitar Selangor Mansion, Menara City One dan Kampung Baru.

Dalam pada itu, Noor Hisham juga berkata, setakat ini, seramai 147 individu yang dikesan melarikan dari pusat kuarantin termasuk dua kes awal melibatkan warga China sejak gelombang pertama Covid-19.

“Setakat ini mereka yang telah lari dari pusat kuarantin ada 147 orang, iaitu daripada kumpulan pembinaan dan ada tujuh kes yang telah dikuarantin tapi kesemua mereka adalah negatif.

“Tapi mereka perlu menjalani kuarantin selama 14 hari,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.