Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB)

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyemak semula Kadar Asas (BR) sebanyak 50 mata asas, iaitu daripada 3.27% kepada 2.77% dan Kadar Pembiayaan Asas (BFR) kepada 5.72%.

Pada masa yang sama, kadar deposit juga akan diselaraskan ke bawah sebanyak 50 mata asas.

Semua perubahan kadar berkuatkuasa 12 Mei ini sejajar langkah penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas oleh Bank Negara Malaysia kepada 2.00%.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, walaupun penurunan OPR ini akan memberi kesan pada pendapatan bank namun keputusan ini demi kepentingan pelanggan.

Bank Islam akan terus membantu masyarakat pada masa yang sukar ini dan terus menyokong ekonomi untuk kembali normal, katanya.

Bank Islam akan menyusun strategi untuk mengimbangi portfolio pembiayaan supaya kos dapat diurus dengan lebih berkesan, seterusnya membantu mengurangkan tekanan margin pendapatan bersih (NIM).

“Kami telahpun menjangka penurunan ini dan bersedia untuk segala kemungkinan yang timbul ekoran penurunan OPR ini dengan mempelbagaikan aliran pendapatan bank terutamanya dalam segmen pendapatan berasaskan fi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Semakan terakhir BR Bank Islam telah dilaksanakan pada 6 Mac lalu iaitu daripada 3.52% kepada 3.27%, manakala BFR diturunkan daripada 6.47% kepada 6.22%. – MalaysiaGazette