Hua Chunying

BEIJING – China membidas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) dengan menyatakan Michael Pompeo tidak mempunyai bukti untuk mendakawa bahawa wabak Covid-19 berpunca daripada sebuah makmal di tengah bandar Wuhan.

Sebaliknya, jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying mendakwa AS menyerang China sebagai sebahagian strategi Donald Trump menjelang Pilihan Raya Presiden pada tahun ini.

Sambil menunjukkan penyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Hua menegaskan, virus itu bukan diwujudkan oleh manusia.

“Pompeo tidak dapat mengemukakan bukti kerana beliau tidak memiliki bukti.

“Perkara ini harus ditangani oleh saintis dan profesional dan bukannya ahli politik daripada keperluan politik domestik mereka,” kata Hua dalam taklimat di Beijing.

Pompeo mendakwa terdapat bukti yang boleh dipercayai bahawa virus berkenaan telah keluar daripada makmal virologi yang mempunyai tahap keselamatan yang ketat hingga menyebabkan penularannya kepada satu dunia.

Tambah Pompeo beliau mempunyai teori tambahan meskipun China menafikannya.

China telah ‘diserang’ tentang cara negara itu menangani virus berkenaan hingga mengakibatkan ekonomi global menuju kemelesetan.

Beberapa negara, termasuk Australia dan Kesatuan Eropah, sedang menyiasat bagaimana patogen yang sebelumnya tidak diketahui dari haiwan berpindah kepada manusia.

Covid-19 dikesan berlaku di Wuhan tahun lalu.

Hua mengatakan bahawa China akan menyokong siasatan punca virus pada “masa yang sesuai”.

“Kami akan terus menyokong WHO untuk mengkaji dan menyimpulkan pengalaman pada waktu yang tepat untuk menyokong kerjasama kesihatan global supaya kami dapat menangani wabak seperti ini pada masa akan datang

“Apa yang kami lawan adalah anggapan rasa bersalah dengan dalih penyelidikan, atau menggunakan wabak itu untuk tujuan politik,” kata Hua.

Duta China ke Washington, Cui Tiankai telah menggesa Amerika Syarikat mengakhiri permainan menyalah pihak lain berhubung koronavirus. – MalaysiaGazette