Aplikasi myTNB menduduki tempat ke-10 dalam senarai aplikasi teratas (kategori aplikasi percuma) di dalam Google Play Store Malaysia, menurut laman web SimilarWeb.

KUALA LUMPUR – Aplikasi dan portal komprehensif Tenaga Nasional Berhad (TNB), myTNB, mencatat hampir 50% peningkatan pendaftaran akaun pelanggan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula berkuatkuasa pada 18 Mac 2020.

myTNB menawarkan saluran alternatif kepada 9.28 juta pelanggan TNB untuk membayar bil dengan lebih selamat kerana ketika ini, 125 Kedai Tenaga dan kios pembayaran layan diri di seluruh negara ditutup sehingga tamat tempoh PKP.

”Pendaftaran akaun pelanggan menerusi myTNB telah meningkat sebanyak 47.8 peratus kepada 3,331,156 bermula 18 Mac sehingga 3 Mei 2020 berikutan ramai pelanggan memilih untuk melakukan pelbagai transaksi berkaitan TNB menggunakan portal dan aplikasi tersebut,” kata Ketua Pegawai Runcit TNB, Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Portal yang boleh dilayari di www.mytnb.com.my dan aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma dari Google Play Store dan Apple App Store membolehkan pelanggan membuat pembayaran bil elektrik melalui perbankan Internet kad kredit atau debit.

Pelanggan juga boleh menyemak dan memantau penggunaan tenaga, rekod bilserta pembayaran sehingga enam bulan terdahulu.

Katanya, pelanggan juga boleh menyimpan maklumat kad kredit atau debit menerusi myTNB bagi memudahkan proses pembayaran. Status pembayaran akan dikemaskini sebaik sahaja transaksi berjaya.

”Sehingga hari ini, kami mempunyai kira-kira 2,802,693 juta pengguna berdaftar myTNB. Kami menjangka lebih ramai lagi akan memanfaatkan myTNB apabila fasa PKP seterusnya berkuatkuasa.

”Selain memantau dan menjelaskan bayaran bil milik sendiri, pengguna myTNB juga boleh menambah akaun TNB lain dan melakukan pembayaran bil bagi insan yang tersayang,” tambah Megat.

Sepanjang tempoh PKP, TNB telah menangguhkan pembacaan meter serta penghantaran bil ke premis buat sementara waktu.

Penggunaan elektrik pelanggan dikira berdasarkan penggunaan bulan sebelumnya (bil anggaran), jika penggunaan bulan sebelum ini adalah RM100, maka bil anggaran semasa juga adalah RM100.

Diskaun berperingkat (antara 2% sehingga 50%) mengikut penggunaan keseluruhan dapat dilihat pada bil anggaran bagi penggunaan elektrik bermula 1 April 2020.

Megat menasihatkan pelanggan untuk segera menjelaskan bil mereka dan tidak berlengah sehingga tempoh PKP tamat bagi mengelak tunggakan bil yang membebankan.

Selain portal dan aplikasi mudah alih myTNB, pelanggan juga boleh menjelaskan bil mereka melalui platform perbankan internet sekiranya mereka telah mendaftar bil mereka sebagai pembayar.

Pembayaran online melalui JomPAY (Kod Pengebil: 5454, Nama Kod Pengebil: Tenaga Nasional Berhad, Ref 1: nombor akaun TNB anda) juga boleh dilakukan.

Bagaimanapun, TNB sedia maklum terhadap kekangan yang dihadapi pelanggan tanpa telefon pintar atau kemudahan Internet.

Justeru, pembayaran secara tunai masih boleh dibuat  cawangan-cawangan Pos Malaysia, ejen Bank Berdaftar Bank Simpanan Nasional, Agro Bank dan cawangan-cawangan Bank Rakyat,  7-Eleven, 99 Speedmart, KK Mart, D’Mart dan kedai Happy Mart, Kedai Mesra Petronas dan kedai Shell Select

Pelanggan dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada terhadap individu yang menyamar sebagai ejen kutipan TNB.

Pelanggan juga boleh menyemak bil elektrik mereka dengan menghubungi TNB CareLine di 1-300-88-5454 dari jam 8 pagi sehingga 5 petang setiap hari.

Sepanjang tempoh PKP, TNB tidak akan memotong bekalan buat pelanggan yang mempunyai bil tertunggak tetapi pelanggan digalakkan untuk sentiasa peka dengan penggunaan elektrik mereka memandangkan lebih banyak menghabiskan masa di dalam rumah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Klau tm dan bank metata cheruk boleh buka kiosk mereka kenapa tnb tak boleh. Cuba la jgn nenyusahkan rakyat terutama warga tua yg tidak mahir dlm pengunaan alat elektronik. Bknkah tnb adalah milik kerajaan dan pengerusi dilantik oleh kerajaan.

Comments are closed.