Penduduk dan peniaga beratur untuk membuat ujian saringan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari ke-49 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Jalan Pudu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Pakar neurologi, Profesor Datuk Dr. Tan Chong Tin mengakui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai isu yang rumit terutamanya kerana kebanyakan kes jangkitan tidak menunjukkan tanda-tanda yang serius.

Keadaan tidak serius itu, katanya, bermakna pesakit masih mampu melawat tempat berlainan dan menjangkit penyakit kepada orang lain jika pergerakan orang ramai tidak dihadkan.

“Disebabkan tidak menunjukkan tanda-tanda sakit yang teruk, maka pesakit masih akan berjalan ke sana dan ke sini, sekali gus memudahkan jangkitan kepada orang lain.

“Oleh sebab itu PKP perlu dilaksanakan, namun kesannya adalah sangat besar kepada ekonomi selain menggangu psikologi manusia serta menyebabkan proses pembelajaran terhenti,” katanya kepada China Press.

Menurutnya, semasa melaksanakan PKP, Kerajaan Persekutuan boleh menurunkan sesetengah kuasa kepada kerajaan negeri dan kerajaan tempatan yang lebih memahami keadaan setempat.

Ditanya mengenai kesan COVID ke atas otak dan sistem saraf seperti yang dilaporkan di Eropah dan China, Chong Tin berkata, kebanyakan pesakit di Pusat Perubatan Universiti Malaya menunjukkan tanda sistem saraf lebih ringan dengan simptom yang paling kerap dikesan adalah sakit kepala dan hilang deria bau.

Beliau berkata, dalam keadaan biasa, tanda-tanda itu adalah bersifat sementara waktu sahaja.

Beliau berkata, data dari Wuhan, China pula menunjukkkan 30 peratus pesakit tenat menunjukkan tanda-tanda sakit neurologi dengan simptom paling kerap adalah sakit kepala dengan ada juga yang koma dan mengalami strok.  – MalaysiaGazette