Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kerajaan memahami keinginan rakyat untuk pulang ke kampung berhari raya bagaimanapun pemantauan terhadap pematuhan prosedur standard operasi (SOP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 sukar dilaksanakan.

Ini menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berbeza dengan pematuhan SOP ketika berada di pasaraya.

“Ini sesuatu yang berat untuk kita hadapi, kami faham keinginan untuk balik berhari raya meluap-luap tetapi pulang beraya berbeza dengan pergi ke pasaraya.

“Di pasaraya kita telah tetapkan SOP yang mana pembeli perlu beratur, perlu menjaga jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter, ada pemeriksaan suhu dan jumlah orang yang boleh berada di dalam premis berkenaan juga telah ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan.

“Tetapi siapa yang hendak memantau jika orang ramai pulang ke kampung untuk beraya?

“Duduk dalam satu rumah berpeluk dan bersalaman dengan ibu bapa, adik-beradik serta sanak-saudara.

“Walaupun kerajaan telah membentuk pasukan petugas khas antara agensi beruniform tetapi saya tidak rasa kerajaan mempunyai kemampuan untuk mengawal setiap rumah di seluruh negara semasa hari raya.

“Kita risau mengenai tahap pematuhan rakyat sekiranya tiada pemantauan kerana kita tidak mahu timbul kluster hari raya pula,” katanya dalam program Bual Bicara yang disiarkan di Bernama TV malam tadi.

Bagaimanapun, keputusan akhir masih lagi di tangan Kementerian Kesihatan Malaysia, jelasnya.

Ketika ditanya sekali lagi persoalan orang ramai mengenai rentas daerah untuk pulang beraya kerana perjalanan rentas daerah telah dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Ismail Sabri berkata, pulang berhari raya masih disenaraikan sebagai aktiviti yang dilarang.

Ini bermakna ia tidak boleh dilakukan meskipun pergerakan rentas daerah telah dibenarkan tanpa had masa.

Tambah beliau, tiada SOP yang akan dikeluarkan bagi pergerakan rentas daerah untuk pulang beraya kerana ia adalah aktiviti yang dilarang di bawah PKPB.- MalaysiaGazette