Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Masih terlalu awal untuk meramalkan sama ada orang ramai dibenarkan merentas negeri untuk pulang ke kampung masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidilfiti pada tahun ini.

Ini kerana, musim perayaan Hari Raya Aidilfitri bermula selepas 20 Mei ini.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, semuanya bergantung kepada nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Tetapi Perdana Menteri dalam kenyataannya sebelum ini dengan jelas memaklumkan orang ramai tidak dibenarkan balik ke kampung untuk beraya. ‘Bukan kerajaan tidak beri jumpa keluarga tetapi kita tidak mahu koronavirus ini menjangkiti ahli keluarga kita,” katanya dalam Hello-Hello bersama Presiden UMNO hari ini.

Malah, tambah Ka Siong, setakat ini tidak dapat dipastikan apa akan berlaku selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir pada 12 Mei ini – sama ada tempoh itu sudah memadai atau perlu diubahsuai.

”Semua ini perlu lihat dulu kerana Kabinet akan rujuk kepada Kementerian Kesihatan dan semua nasihat kementerian ini perlu diambil perhatian,” tambahnya.

Ka Siong berkata, sebarang kelonggaran keputusan tetap bergantung kepada disiplin rakyat Malaysia dalam mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan oleh KKM.

Rakyat Malaysia perlu berubah kepada kehidupan normal baharu – memakai penutup mulut dan hidung, mematuhi penjarakan sosial, tidak berhimpun beramai-ramai dan sentiasa menjaga kebersihan, katanya.

”Buat masa ini memang tidak boleh meramalkan dari aspek balik kampung atau apa akan berlaku selepas 12 Mei. Yang penting kita doa yang terbaik, kita jaga sesama kita yang akhirnya kita akan menang,” tambah Ka Siong. – MalaysiaGazette