Suasana hari raya mungkin berbeza tahun ini berikutan penularan pandemik Covid-19.

KUALA LUMPUR- Meskipun kerajaan telah membenarkan pergerakan tanpa had masa antara daerah namun ziarah hari raya antara daerah tetap berada dalam senarai perkara yang dilarang.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, tidak semua pergerakan dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Larangan yang sama turut dikenakan terhadap aktiviti sosial dan sukan, katanya.

“Contohnya, permainan bola sepak masih tidak dibenarkan kerana ia berada dalam senarai negatif namun sukan lain seperti badmintan dan golf dibenarkan

“Seperti diumumkan Perdana Menteri pulang ke kampung untuk berhari raya tidak dibenarkan,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama BH, baru-baru ini.

Sementara itu, ditanya mengenai kebenaran untuk solat Jumaat dan tarawih di surau dan masjid, katanya setakat ini, belum lagi diputuskan sebarang keputusan mengenainya.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan hal ehwal agama ada membentangkan cadangan tetapi kita belum putuskan apa-apa keputusan mengenainya. Mungkin kita akan bincangkan lebih lanjut di dalam mesyuarat Kabinet.

“Cadangan itu bagaimanapun bukan mahu dilaksana dalam waktu terdekat. Jika mahu dilaksanakan pun seminggu atau dua minggu lagi. Saya kira adalah lebih baik menteri yang berkenaan mengulas mengenainya,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, beliau perlu sentiasa berhati-hati dengan apa yang dilakukannya kerana rakyat meneliti setiap perbuatannya.

Ini termasuk pakaian dan penampilannya semasa mengadakan sidang media pada jam 2 petang setiap hari.

“Saya seronok, ada orang menyamakan baju saya dengan kuih muih kerana pada bulan puasa saya faham semua orang fikir pasal kuih

“Saya anggap perkara ini satu yang positif kerana rakyat pun teliti dengan apa yang saya lakukan. Sebab itu, saya tidak boleh melakukan apa-apa kesilapan, hal seperti baju saya pun rakyat memberikan tumpuan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast