KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menyifatkan pemergian Allahyarham Datuk Ismail Kamus ke rahmatullah sebagai kehilangan seorang ilmuan dan pendakwah yang benar-benar memahami denyut ummah.
Dalam hantaran di laman Facebook, Dr Zulkifli mengimbau nostalgia ceramah Allahyarham yang berjaya menarik pelbagai lapiisan masyarkat.
“Mengenangkan sosok tubuhnya sentiasa mengingatkan saya kepada nostalgia ceramahnya di era 80an dan 90an yang berjaya menarik pelbagai lapisan masyarakat baik di kaca televisyen mahupun koleksi kasetnya yang terjual entah tidak terkira bilangannya.
“Kehadirannya sentiasa dinantikan umat Islam di Malaysia setiapkali Forum Perdana Ehwal Hal Ehwal Islam (kini Forum Perdana Ehwal Islam) di TV1. Celotehnya yang bersahaja, disulami nasihat-nasihat yang amat berguna, sentiasa menjadi ingatan kepada generasi yang sempat berada pada era tersebut,” tulis Dr Zulkifli.
Menurut beliau, kali terakhir makan bersama almarhum adalah pada 17 Disember 2019.
“Walaupun kelihatan uzur, namun almarhum tetap bersemangat menggagahkan diri untuk bersama-sama saya pada malam tersebut.
“Kita kehilangan seorang demi seorang ilmuan dan pendakwah yang benar-benar memahami denyut nadi ummah. Moga Allah SWT memberi ketabahan kepada keluarga almarhum,” katanya.
Allahyarham meninggal dunia pukul 12.30 pagi tadi ketika mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette