Parti Putra yang ditubuhkan secara rasmi pada 8 Mei 2019 mencapai genap satu tahun perjuangannya dalam pentas politik negara.

HARI ini 8 Mei 2020 genaplah satu tahun usia Parti Bumiputera Perkasa Malaysia atau Putra.

Parti Putra berlogokan “Tanjak” lambang kepahlawanan dan budaya Melayu pribumi, lahir dari roh inspirasi beberapa kepimpinan perjuangan NGO Perkasa yang lebih 10 tahun menongkah perjuangan bangsa.

Putra bukan parti serpihan yang lahir dari tulang rusuk mana-mana parti yang pecah akibat perebutan kuasa, ia lahir dari semangat roh idealisma perjuangan nasionalisma pribumi yang benar-benar patriotik.

Sejarah telah terpahat pada 28 September 2020, Putra dilancarkan di padang Kampung Baru, Kuala Lumpur di hadapan hampir 3,000 ahli fasa pertama dari seluruh negara dan tetamu.

Kampung Baru dipilih kerana ianya begitu sinonim dengan kebangkitan umat Melayu memulakan perjuangan menuntut kemerdekaan dari penjajah British.

Sempena pelancaran Putra pada tanggal tersebut yang penuh bersejarah secara simbolik dengan paluan geduk dan laungan azan sebagai tanda kebesaran serta kekuasan Allah SWT yang menjadi pegangan keyakinan pejuang Putra agar tidak lupa daratan.

Sesungguhnya solatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah dan parti Putra adalah wadah untuk setiap insan sebagai khalifah di muka bumi, berada dalam jemaah bagi ibadah serta jihad demi kelangsungan perjuangan amal makruf nahi mungkar dan mengangkat martabat Islam serta survival Melayu pribumi yang semakin tergugat di bumi sendiri Malaysia, negara yang dahulunya Persekutuan Tanah Melayu.

Perisytiharan Sumpah Keramat 10 Perkara Perjuangan Putra juga dizahirkan sebagai kemuncak pelancarannya. 10 Perkara yang merangkumi tonggak survival Melayu pribumi yang akan memastikan selagi dunia belum kiamat, jangan bumi kita dipijak orang.

Sebanyak 100,000 naskhah Sumpah Keramat Putra sudah diedar di seluruh negara dan sewajarnya umat Melayu pribumi memberi sokongan membujur lalu melintang patah.

Selama 63 tahun negara merdeka, Malaysia telah membangun dengan prasarana yang hebat, namun kedudukan Melayu dan pribumi makin cemas merempat di bumi sendiri.

Walaupun Melayu pribumi dengan majoriti 67 peratus sebagai rakyat Malaysia, namun nikmat kemerdekaan menjadi milik orang. Wasiat Raja-Raja Melayu menjadi lebur dan Sosial Kontrak Fasal 151, 152, 153 Perlembagaan menjadi bahan retorik serta gurindam jiwa.

Setiap dasar sudah tersasar jauh dan dilebur oleh pemimpin Melayu pribumi sendiri kerana permainan politik mencari undi yang akhirnya menang sorak kampung tergadai. Budaya Melayu dan Islam bersifat tolak ansur akhirnya memakan diri sendiri.

Mutakhir ini pelbagai gelora berlaku. Gelora dan ribut politik yang menghampakan umat Melayu dan pribumilah yang mencetus kelahiran parti Putra pada 8 Mei 2019 kerana kecewa dengan parti Melayu serta parti Islam yang sekian lama wujud dan berkuasa, namun akhirnya tersungkur lalu mengecewakan bangsa sendiri.

Pemimpin mengaut kekayaan, kehidupan mewah dan kehilangan integriti kerana rasuah, salahguna kuasa, bergelombang dengan isu moral dan akhlak yang akhirnya hipokrit dengan slogan hidup Melayu! hidup Melayu!, laungan takbir, tetapi menjuruskan sifat munafik yang sekadar retorik.

Tidak perlu dihurai satu persatu kerana ianya sudah menjadi hikayat 1,001 malam bagi umat Melayu pribumi. Kaum lain yang minoriti serta dahulu pendatang semasa penjajah, bersifat megah dan angkuh. Ibarat diberi betis mahukan paha, ibarat hujan naik ke langit.

Dari debu-debu kekotoran politik inilah Putra lahir membawa cahaya seribu dan makna. Ianya ibarat sebutir permata dalam tasik yang penuh buaya dan naga. Para pengasasnya kerdil, tapi berjiwa kental. Jiwa patriotisma dan jati diri sudah teruji.

Berkayuh dengan lidi dan kehausan tanpa air, namun kecekalan pengasas jemaah pimpinan dari pelbagai lapisan di peringkat Dewan Tertinggi (ADT) yang terdiri dari tokoh politik berpegalaman, bersih, berintegriti, berani dan cekal seperti Timbalan Presiden, Tan Sri Khalid Yunus.

Putra juga dibarisi tokoh politik, pengamal undang-undang berpengalaman, tokoh akademik bertaraf profesor, mantan jeneral, pesara tinggi kerajaan, profesional Doktor Perubatan, Arkitek, Perancang Bandar, Akauntan, ahli-ahli perniagaan dan usahawan seramai 35 tokoh, pasti dapat merealisasikan perjuangan getir dan berkualiti melalui wadah yang mampu menjadi pilihan terbaru sebagai parti untuk seluruh kaum Melayu serta pribumi dan juga rakyat Malaysia umumnya.

Ianya parti rasis berperlembagaan dan kaum-kaum lain nescaya akan turut memberi sokongan jika kepimpinan Putra telus, bebas rasuah, berintegriti, berwawasan, amanah dan bersifat adil.

Putra tidak akan memalukan bangsa sendiri dan diketawakan oleh lain-lain kaum seperti parti-parti lain kerana cakap lain buat lain.

Putra sebagai parti politik akan berpolitik, namun akan mengelak dari amalan cara menghalalkan matlamat jika ianya bertentangan dengan prinsip moral dan ajaran Islam.

Putra tidak akan menggunakan nama Melayu, tidak sebagaimana parti Melayu lain yang menggunakan Islam sebagai bahan dagangan untuk tujuan politik yang boleh merosakkan akidah serta kesucian Islam.

Syukur kehadrat Illahi, sepanjang setahun Putra dilahirkan, sambutan dan sokongan amat luar biasa di kalangan umat Melayu pribumi. Sokongan senyap yang membawa kepada penubuhan 106 Bahagian seluruh negara tidak termasuk Sarawak walaupun ada permohonan setakat ini.

Semua negeri sudah wujud Jawatankuasa Perhubungan Penaja Negeri di Semenanjung dan Sabah. Di Sabah terdapat Ketua-ketua penaja Bahagian dari etnik pribumi yang bukan beragama Islam. Ianya amat membanggakan.

Penubuhan sayap Wira, Wiranita dan Wirawati berjalan serentak dan cawangan-cawangan tumbuh seperti cendawan.

Kerancakan penubuhan bahagian, sayap-sayap dan cawangan yang lain terkesan akibat serangan Covid 19.

Jika tidak kerana Covid-19 datang mendadak, Putra menjangkakan Perhimpunan Agung Pertama dijadualkan pada hujung November atau awal Disember 2020. Nampaknya terpaksa dipinda sebagaimana jadual asal.

Malah, sempena perayaan setahun Putra, sememangnya rancangan telah diatur untuk program Konvensyen Kepimpinan Nasional Pertama Putra dengan jangkaan 1,500 orang perwakilan dan Majlis Makan Malam Setahun Putra untuk mengisi Tabung Dana Putra pada 30 Mei 2020, iaitu seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri di Stadium Pusat Belia Antarabangsa Cheras di sebelah siang dan Stadium Taman Titiwangsa pada waktu malamnya.

Malah bayaran tempat juga sudah dibuat serta kad jemputan sudah dicetak serta ada yang sudah teredar. Namun, akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ianya terpaksa ditangguhkan sehingga dibenar oleh pihak berkuasa dan ROS. Insya-Allah.

Negara dalam keadaan bahaya akibat Covid 19. Ianya meragut nyawa dan membunuh perniagaan. Seluruh dunia terancam termasuk Malaysia. Ekonomi kian gawat dan rakyat kehilangan pekerjaan serta perniagaan.

Negara kita Malaysia lagi tenat kerana dihimpit oleh lain-lain masalah dan isu-isu yang amat serius termasuk isu perkauman dan pendatang asing tanpa izin (Pati).

Negara ibarat telur di hujung tanduk. Kestabilan politik terancam kerana kerajaan yang dinamakan kerajaan Perikatan Nasional (belum ada kelulusan ROS) adalah Kerajaan yang disebut sebagai kerajaan pintu belakang walaupun sah di sisi undang-undang, tetapi tidak sah disisi moral dan maruah.

Cakap-cakap kerajaan tidak lama, kerajaan boleh tumbang bila-bila masa dan pakatan rapuh puak kumpulan dalam PN, tidak baik untuk negara. Ianya tidak memberi keyakinan kepada pelabur dan boleh memberi ancaman kepada keselamatan negara.

Putra pada awal-awal lagi berpendirian Pilihan Raya Umum (PRU) hendaklah diadakan bagi membolehkan rakyat menentukan mandat baru.

Putra juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi memohon ampun perkenan DYMM Yang di-Pertuan Agong agar membubarkan Dewan Rakyat dan PRU diadakan kerana berlaku lompat melompat di kalangan Ahli-ahli Parlimen.

Ianya ibarat penyakit yang kekal tanpa kesembuhan jika tidak dikembalikan melalui mandat rakyat.

Covid-19, kerajaan yang dipertikaikan dan banyak lagi isu lain yang bertimbun. Terkini, isu pekerja asing, Pati, pelarian Rohingya, pelancong China dan India yang tidak pulang ke negara asal, sudah menjadi barah kepada keselamatan negara.

Jumlah keseluruhannya lebih 7 juta bukanlah angka yang kecil, tetapi amat mengerunkan. Disusuli pula dengan isu penjualan Mykad yang merupakan perbuatan khianat dan derhaka kepada negara kerana sogokan wang ringgit.

Isu kaum makin tegang, isu penghinaan terhadap Islam, Raja-Raja Melayu dan terhadap umat Melayu. Isu-isu sosial termasuk kehilangan pekerjaan dan pengangguran, pencabulan terhadap Asas Perlembagaan Negara serta lain-lain perkara bertali arus yang mengugat negara.

Dr. Ibrahim Ali, pengasas kerdil yang berjiwa kental dan patriotisma.

Putra amat bimbang, apakah kepimpinan politik negara sekarang mampu menangani kelangsungan hidup rakyat dengan selamat, makmur dan keselamatan serta keamanan negara terjamin.

Ibarat kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’, maka Putra menaruh harapan dan keyakinan penuh kepada kebijaksanaan, kewibawaan dan ketegasan peranan DYMM Yang di-Pertuan Agong bersama Majlis Raja-Raja Melayu sebagai tonggak dan payung negara.

Jika keadaan makin tidak terkawal dengan suasana politik yang ada, maka pilihan terakhir ialah meletakkan negara di bawah ‘Perisytiharan Darurat’ secara sukarela sebelum nasi menjadi bubur.

Perisytiharan Darurat selama tiga tahun sebelum kembali semula kepada Sistem Demokrasi BerParlimen untuk PRU-15.

Perisytiharan Darurat bererti menyerahkan kuasa pentadbiran negara di bawah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969 dahulu.

Parlimen digantung dan parti-parti politik dibekukan atau ‘lockdown’ selama tiga tahun. Tempoh itu digunakan untuk kembali semula ke ‘papan hitam atau drawing board’ bagi membuat pembetulan serta mencari penyelesaian terhadap semua masalah negara.

Masalah negara yang dihadapi kini tidak mungkin boleh diselesaikan dengan kepimpinan politik yang kehilangan wibawa dan melalui peti undi. Negara memerlukan pembedahan bagi mengubati penyakit yang makin parah.

Apakah mungkin selepas MAGERAN, apabila kembali kepada Demokrasi Ber-Parlimen, sudah tiba masanya Malaysia mengamalkan “Sistem Dua Gabungan Parti”, di mana dasar-dasar nasional didokong oleh Dua Gabungan Parti bertunjangkan Perlembagaan Negara yang tidak boleh lagi disentuh atau digugat perkara-perkara asas negara.

Politik dan kebebasan adalah untuk persaingan memilih mana satu antara dua gabungan parti untuk rakyat pilih. Parti berwibawa yang menjamin “good governance” dan program pembangunan ekonomi serta lain-lain, mana yang terbaik dan calon yang diyakini pengundi.

Sebelum ini dan sekarang, terlalu banyak masa terbuang dan kewangan negara banyak membazir. Cadangan Putra untuk bersama semua pihak berfikir secara rasional demi masa depan rakyat berbilang kaum dan kestabilan politik negara.

Malaysia, pada asalnya Persekutuan Tanah Melayu. Negeri-Negeri Melayu kepunyaan Raja-Raja Melayu di bawah panji-panji Islam. DYMM Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara dan Islam agama persekutuan.

Namun, dipertikai dan dibahas, apakah Malaysia negara Islam atau negara sekular? Sudah tiba masanya dengan mengambil kira sejarah Negeri-Negeri Melayu dan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu yang berteraskan Islam.

Dengan rakyat 67 peratus adalah umat Islam pribumi, amat wajar Malaysia diisytiharkan secara rasmi dan berpelembagaan sebagai sebuah negara Islam.

Pindaan Perlembagaan wajib dibuat dengan memasukkan perkataan di awal Mukadimah Perlembagaan, bahawa Malaysia adalah negara Islam dan Islam agama persekutuan.

Perdana Menteri wajib dan haruslah seorang Melayu beragama Islam, sesuai dengan ketua negara adalah DYMM Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu adalah Ketua Agama Islam bagi negeri masing masing.

Sebanyak 50 peratus bumi Malaysia adalah Tanah Rezab Melayu, penduduk 67 peratus adalah Melayu Islam pribumi, askar Melayu benteng negara dan Bahasa Melayu bahasa Kebangsaan negara.

Maka Malaysia wajar diisytihar sebagai negara Islam secara rasmi dan berperlembagaan. Inilah tunjang dan paksi perjuangan Putra, biar putih tulang, jangan putih mata.

Selamat menyambut setahun Putra. Genggam bara api biar sampai jadi arang. – MalaysiaGazette

Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali adalah Presiden penaja parti Putra merangkap Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

7 Komen

  1. Putra??? Putra ni LRT ke MRT atau stesen bas? Atau sejenis haiwan kaki 4!!!

  2. Syabas, Hidup PUTRA hidup bangsa Melayu Islam di Tanah Melayu Islam yg.berpaksikan Yang Di Pertuan Agong sebagai ketua Kerajaan negara Melayu . Lahir, hidup dan mati di bumi Malaysia. Demi bangsaku yg.di hormati.

  3. Dasar perjuangan memang bagus, tapi pemimpin yang ada juga 2×5, itu pun bekas ahli parti UMNO juga. Bercakap memang manis tapi perlaksanaanya hampeh, buat sakit hati je!

Comments are closed.