Allahyarham Ismail Kamus, foto Facebook

KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus meninggal dunia pukul 12.30 pagi tadi.

Perkara tersebut disahkan oleh anak Allahyarham, Mohd Firdaus Ismail dalam hantaran di laman Facebook.

“Saya dengan hati yang sangat hiba memaklumkan abah saya (Dato’ Ustaz Haji Ismail B. Kamus) telah kembali kerahmatullah pada jam 12:30 pagi 8 Mei 2020 /15 Ramadhan 1441 Hijrah,” katanya.

Tokoh agamawan itu sebelum ini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur.

Beliau dimasukkan ke ICU sejak  26 April disebabkan keadaaan kesihatan yang agak lemah.

Artikel berkaitan: Abah masih di ICU, doakan abah – Firdaus

Allahyarham dilahirkan pada 2 Disember 1948 di Kampung Batang Rening , Ulu Selangor dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Batang Kali sebelum meneruskan pengajian ke Ma’ahad Hisyamuddin, Klang di mana beliau berguru dengan seorang ulama tersohor, Asy-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhori.

Allahyarham kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Klang dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan mendapat ijazah Sarjana Muda Syariah dengan kepujian pada 1976.

Allahyarham juga pernah menuntut di Beaver College Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Allahyarham pernah bertugas sebagai guru, Pegawai Penyelidik, Pegawai Dakwah selain bertugas selama 15 tahun di pelbagai jabatan seperti di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Pusat Islam.

Jawatan terakhir Allahyarham ialah sebagai Pakar Rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan.

Allahyarham juga adalah seorang  perunding motivasi dan pendakwah bebas dengan memberi ceramah agama di seluruh dunia seperti Brunei Darussalam, Indonesia, Thailand, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan negara Asia Barat.

Ismail juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia. – MalaysiaGazette

 

4 Komen

  1. إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

  2. Innalillahi wa inna ilaihirojiun..nsan mulia.. Allah SWT berikan kemuliaan di hari pemergiannya.. semoga roh mu tenang bersama para mukmin di sana.. Aminn..

  3. Innalillahi wainnailaihi rajiun… semoga Rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.Aamiin….

Comments are closed.