KUALA LUMPUR – Kesemua guru perlu ke sekolah masing-masing meskipun sesi persekolahan masih belum disambung akibat penularan wabak Covid-19.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan arahan kepada guru-guru untuk memulakan kerja masing-masing.
“Walaupun sekolah masih belum dibuka tetapi sekiranya diarahkan kerana terdapat keperluan untuk guru-guru berada di sekolah masing-masing sama ada untuk membuat persiapan dan sebagainya, mereka perlu kembali ke sekolah.
“Arahan telah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran dan sekiranya terdapat keraguan atau masalah boleh bertanya kepada Pejabat Pendidikan Daerah atau kementerian” katanya semasa ditanya mengenai kekeliruan guru-guru yang mana terdapat sesetengah sekolah telah memanggil guru masing-masing namun ada yang tidak berbuat demikian.
Sebelum ini, kerajaan mengeluarkan kenyataan, makluman mengenai pembukaan semula sekolah akan dibuat dua minggu sebelum ia dilaksanakan.
Sekolah ditutup sejak pertengahan Mac lalu kerana cuti penggal dan disambung dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).- MalaysiaGazette