JAKARTA – Dalam senario terburuk zoo-zoo di Indonesia mungkin terpaksa membunuh haiwan untuk diberi makan kepada binatang lain bagi menangani kebuluran di zoo-zoo di negara ini.
Kebanyakan zoo mengalami masalah kekurangan pendapatan selepas orang ramai tidak lagi mengunjunginya akibat pandemik Covid-19.
Ketua Persatuan Zoo Indonesia (PKBSI), Rahmat Shah berkata, setakat ini zoo-zoo di bawah persatuan itu masih belum melakukan tindakan tersebut.
Tetapi pihaknya mungkin menimbangkan untuk melakukannya beberapa bulan lagi sebagai usaha terakhir jika gagal mendapat bantuan.
Namun, ia hanya akan mengorbankan haiwan tua dan yang tidak terancam.
Rahmat mendesak kerajaan untuk memberi perhatian kepada zoo-zoo yang bermasalah, tetapi setakat ini belum ada tindak balas.
“Kami tidak tahu bila koronavirus (wabak) akan berakhir.
“Tetapi jika ini tidak berakhir dalam tiga bulan, kita akan menghadapi masalah besar kerana kita sudah berada dalam situasi ini,” katanya.
Persatuan itu hanya meraih sebanyak 500 juta rupiah berbanding 2 bilion rupiah dalam kempennya pada hari Selasa untuk membeli makanan haiwan.
Beberapa organisasi juga menyumbang sayur-sayuran dan rumput sementara beberapa zoo telah menggunakan hasil ladang sendiri.
Usaha sedemikian bertujuan untuk mencegah ribuan binatang di Indonesia kelaparan kerana zoo-zoo telah mengalami penurunan pendapatan yang ketara.
Tinjauan yang dilakukan pada bulan ini menunjukkan bahawa 92% anggota persatuan di Sumatera, Jawa, Bali, Lombok dan Kalimatan – membabitkan 55 zoo – memiliki cukup makanan untuk memberi makan haiwan mereka hingga pertengahan Mei.
Indonesia mempunyai jumlah spesies terancam keenam tertinggi di dunia dengan 1,654 spesies dalam senarai merah International Union for Conservation of Nature (IUCN).
Zoo di dalam kawasan persatuan menempatkan hampir 70,000 haiwan dari 4,912 spesies endemik ke Indonesia dan dari bahagian lain di dunia.
“Ini sangat membimbangkan. Kami tidak mahu melihat haiwan kelaparan,” kata pengasas Jaringan Bantuan Haiwan Jakarta (JAAN) Femke den Haas. – MalaysiaGazette
Harap tiada haiwan di zoo di dunia ini dikorbankan kerana manusia penyebab virus corona..harapan tinggi dan terima kasih kepada yang membantu survival haiwan ini hidup bukan dikorbankan..