KUALA LUMPUR – Hakikatnya kebanjiran warga asing di negara ini bukan sesuatu yang mengejutkan di negara ini terutama sejak 10 tahun kebelakangan ini.

Lagi-lagi ia satu fakta bahawa golongan itu sudah mendominasi beberapa sektor utama negara pada masa ini sehingga menyebabkan kerajaan kerugian berbilion ringgit selepas bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lepas.

Malah beberapa lokasi penting terutamanya di ibu kota seperti Pasar Borong Selayang menerima impak besar lagi-lagi dengan pendedahan oleh Menteri, Tan Sri Annuar Musa bahawa ada kira-kira 16,000 warga asing di situ.

Pasar itu pula hampir kebanyakan premis kedai serta lot perniagaan di dominasi oleh etnik Rohingnya dan itu juga adalah fakta.

Menurut Ketua Pemuda MIC Selangor, Sritheran Renganathan, kebanjiran warga asing sebenarnya semakin hari semakin menggerunkan rakyat dan merugikan negara.

“Jika di Kuala Lumpur dengan salah satu lokasinya sahaja ada 16,000 bayangkan yang lain-lain? Tidakkah menakutkan?

“Jika di keseluruhan Selangor menurut statistik rasmi, sekurang-kurangnya ada 608,308 pekerja asing yang aktif setakat 30 Jun 2019, sedikit masa lagi atau mungkin sudah cecah sejuta pada masa ini. Tidak bimbangkah?

“Sektor penting seperti pengilangan, pembinaan dan perkhidmatan merupakan antara yang mempunyai kebergantungan paling tinggi terhadap tenaga kerja warga asing.

“Bukankah perkembangan ini merisaukan memandangkan ratusan ribu peluang pekerjaan yang boleh dipenuhi oleh tenaga kerja tempatan dibiarkan begitu sahaja dipergunakan tenaga kerja warga asing.

“Baru-baru ini Kementerian Wilayah melalui cadangan bernas oleh Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran telah memberi keutamaan kepada pekerja tempatan di Pasar Boron Selayang, inilah contoh hebat yang perlu di ikuti. Melalui usaha ini, kini lebih 1,000 rakyat kita dapat kerja,” katanya.

Pekerja buruh binaan warga asing beratur bagi membuat saringan Covid-19 yang dikelola oleh majikan berikutan Perintah Kawaln Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 di Jalan Batai, Bukit Damansara. foto AFIQ RAZALI, 09 MEI 2020

Sambung Sritheran lagi, usaha seperti ini sepatutnya berterusan contohnya kerajaan negeri Selangor pula perlu memainkan peranan lebih agresif berhubung isu yang sama.

Cadang Sritheran, kerajaan negeri yang diterajui oleh Pakatan Harapan itu seandainya lebih serius dalam menangani kebanjiran warga asing, sememangnya boleh sahaja mewujudkan undang-undang baharu misalnya.

“Sebagai contoh, kerajaan negeri boleh wujudkan undang-undang baru terutamanya untuk sektor pembinaan yang mana menurut statistik rami mempunyai 153,218 pekerja asing aktif setakat 30 Jun 2019.

“Cadangan ini mungkin agar jumlah tersebut dapat dikurangkan secara berperingkat. Antara tindakan yang boleh dilakukan adalah seperti menwujudkan penetapan baru untuk menghadkan jumlah warga asing yang berkerja di sesebuah kawasan pembinaan.

“Syarat ini wajib dipenuhi pemaju sebelum mendapatkan ‘Development Order’ dari kerajaan negeri, kita bukan sahaja dapat mengurangkan dominasi warga asing dalam sektor pembinaan sebaliknya boleh mengawal pemaju dari terus menafikan peluang pekerjaan bagi warga tempatan demi keuntungan mereka.

“Ingin sekali saya nasihatkan kerajaan negeri supaya tidak hanya sekadar retorik tetapi pada masa sama diam seribu bahasa dalam soal dasar-dasar utama seperti ini. Ingat ya, sebahagian sektor sudah didominasi warga asing dan ianya pula bawah selia kerajaan negeri atau agensi berkaitan kerajaan negeri.

“Cukup-cukuplah retorik, omong kosong bagi menyedapkan rakyat hakikatnya kita masih lagi terumbang ambing lagi,” tegasnya.

Jelasnya lagi, adalah lebih baik polemik ini dapat diselesaikan dengan kadar segera supaya peluang pekerjaan kepada warga tempatan lagi-lagi dalam era pasca pandemik Covid-19.

“Pastinya impak ekonomi jauh lebih besar, kita sendiri dengar ramai sudah menganggur ketika ini, ramai lagi akan hilang kerja dalam masa terdekat jadinya cadangan ini sepatutnya segera diperhalusi sekali dengan tindakan,” ujarnya. –MalaysiaGazette

Gara-gara warga asing, industri keselamatan makanan rugi RM1 bilion? – Vigneswaran

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kerana PATI juga negara hilang hasil cukai, wang hasil PATi di hantar pula ke luar negara.

Comments are closed.