Anggota Angkatan Malaysia (ATM) membuat kawalan pada sekatan jalan raya untuk mengawal laluan keluar masuk susulan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Pasar Borong Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 20 april 2020

DALAM ucapan beliau sempena Hari Pekerja, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan perkara yang membangkitkan pelbagai emosi dalam kalangan masyarakat. Hampir seminggu sebelum berakhirnya fasa keempat bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 12 Mei, kerajaan membuat keputusan untuk melonggarkan sekatan ke atas kebanyakan sektor ekonomi bermula 4 Mei dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat. Pelaksanaan ini disebut Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Namun begitu, perniagaan yang melibatkan perhimpunan secara besar-besaran dan kontak rapat yang menyukarkan proses pemantauan seperti panggung wayang, pusat karaoke, bazar dan acara sukan di stadium masih tidak dibenarkan untuk beroperasi. Sungguhpun langkah tersebut melegakan para peniaga, pengusaha dan majikan yang menantikan saat ini, ramai juga yang berfikir bahawa penat lelah barisan hadapan untuk mencegah penularan wabak Covid-19 akan menjadi sia-sia sekiranya keputusan yang dibuat ini merupakan satu kesilapan.

Walaupun sektor ekonomi sudah mula dibuka dengan anggaran seramai 6.64 juta pekerja sudah kembali bekerja, pihak kerajaan masih mengambil langkahberjaga-jaga. Oleh itu, Perdana Menteri mengumumkan dalam Perutusan Khasnya bahawa PKPB akan dilanjutkan selama empat minggu lagi sehingga 9 Jun.
Keputusan Perdana Menteri untuk membuka semula sektor ekonomi adalah berdasarkan kiraan kerugian yang dihadapi oleh negara sebanyak RM2.4 bilion setiap hari semasa PKP dijalankan manakala jumlah kerugian yang dianggarkan bagi keseluruhan tempoh PKP adalah sekitar RM63 bilion. Andai kata PKP dilanjutkan sebulan lagi, jumlah kerugian akan mencecah RM98bilion!

Beliau juga telah menyatakan bahawa pelan kerajaan ini selaras untuk
membendung wabak Covid-19, iaitu:
1. Mengatasi – Mengekang wabak Covid-19;
2. Bertahan – Melalui pakej rangsangan PRIHATIN;
3. Memulakan semula – Membuka ekonomi secara terkawal;
4. Pemulihan – Pelan jangka pendek dan jangka sederhana;
5. Menghidupkan semula – Pembukaan ekonomi secara holistik; dan
6. Reformasi – Menyusun semula ekonomi untuk mendorong
pertumbuhan 'norma baru'.

Menurut Perdana Menteri, disebabkan negara kita berjaya dalam melaksanakan pelan pertama dan kedua, sekarang kita menuju ke fasa ketiga- untuk memulakan semula. Ditanya sama ada keputusan pembukaan sektor ekonomi dibuat secaratergesa-gesa, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul
Aziz menafikannya dengan mengatakan bahawa ia adalah berdasarkan kajian yang telah dijalankan, pengumpulan data dan selaras dengan SOP.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyokong kenyataan tersebut dengan menyatakan bahawa keputusan itu dibuat secara kolektif dan Malaysia kini dalam fasa pemulihan setelah berjaya meratakan lengkung melalui tiga fasa pertama PKP. Jadi, sudah tiba masanya untuk "mencapai keseimbangan antara kehidupan dan mata pencarian”. Terlalu ramai rakyat Malaysia sudah terjejas teruk disebabkan PKP, sama ada dari segi kewangan atau mental.

Walau bagaimanapun, bagi menekankan pematuhan terhadap SOP, Dr Noor Hisham menambah jika terdapat jangkitan di mana-mana kawasan, pihak kesihatan akan mengambil tindakan dengan kadar segera dan kawasan itu akan diletakkan di bawah jagaan PKP yang lebih ketat, atau jika SOP tidak dipatuhi, premis perniagaan akan ditutup. Kerajaan Persekutuan bersikap fleksibel dalam pelaksanaan PKPB dengan membenarkan syarikat, termasuk kerajaan negeri untuk memutuskan sama ada mereka ingin beroperasi mulai 4 Mei dan hari yang seterusnya kerana mungkin ada syarikat memerlukan masa yang lebih untuk membuat persiapan sebelum memulakan operasi.

Ketika kita memasuki fasa yang seterusnya untuk memulihkan ekonomi, kerjasama daripada setiap individu memainkan peranan penting selain pelaksanaan ketat oleh pihak berkuasa. Terdapat keperluan kritikal untuk kita tidak leka dan perlu  bertanggungjawab secara sosial bagi memastikan penyebaran virus sentiasa dapat dikawal. Yang paling penting adalah para peniaga dan majikan perlu mengenakan protokol dengan lebih tegas terhadap pekerja dan pelanggan. Sebagai contoh, restoran yang biasanya mempunyai ramai pelanggan perlu memastikan amalan penjarakan sosial dari meja ke meja dan semasa beratur, penyediaan pembersih tangan (hand sanitizer) dan sabun tangan, penyediaan topeng muka kepada pekerja terutamanya mereka di barisan hadapan, pembersihan meja yang lebih kerap, pemeriksaan suhu badan dan pengambilan rekod perincian pelanggan sekiranya ada keperluan untuk mengesan kontak.

Contoh lain adalah pengangkutan awam seperti bas, MRT, LRT, KTM dan Monorel yang berisiko daripada perhimpunan besar-besaran disebabkan oleh penggunaan pengangkutan awam yang tinggi. Pengendali pengangkutan awam, Prasarana Malaysia Berhad telah mengumumkan beberapa langkah selari dengan PKPB. Ini termasuk meningkatkan frekuensi perjalanan kereta api bagi menyokong penjarakan sosial di mana waktu perjalanan waktu puncak akan dilanjutkan dari jam 7 pagi hingga 11 pagi untuk jadual sesi pagi sementara pada sesi petang, dari jam 4 petang hingga 7 malam. Kakitangan tambahan juga akan ditempatkan di platform dan pintu masuk bagi memastikan jumlah penumpang terkawal.

Bagi perniagaan lain, model perniagaan perlulah diubahsuai. Bekerja dari rumah adalah alternatif yang terbaik, seperti yang disyorkan oleh pihak kerajaan. Lagipun, kebanyakan daripada kita mungkin sudah terbiasa dengan kaedah ini memandangkan PKP telah berlangsung lebih daripada sebulan. Langkah-langkah ini mungkin kelihatan mencabar untuk dilaksanakan tetapi inilah realiti yang baru. Selagi penawar untuk wabak Covid-19 tidak ditemui, kerisauan tetap ada, yang memerlukan kita untuk menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu dan tidak kembali kepada rutin pra-Covid.

Ketika negara-negara di seluruh dunia bergerak untuk menamatkan sekatan pergerakan atau perintah penutupan, kita perlu belajar daripada mereka yang telah melaksanakan tindakan tersebut sebelum Malaysia dan mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku apabila langkah berjaga-jaga tidak dilaksanakan sewajarnya.

Di Jepun, rakyat mereka yang berada di pulau Hokkaido telah menerima tamparan hebat apabila menamatkan tempoh penguncian pergerakan terlalu awal pada 19 Mac. Mereka menamatkan tempoh penguncian tersebut selepas jangkitan harian jatuh kepada satu digit dan ujian berskala besar juga mula dikurangkan bagi mengelakkan jumlah pesakit yang ramai di hospital kerana peralatan perubatan dan tenaga kerja yang tidak mencukupi. Akibatnya, mereka dilanda gelombang jangkitan yang kedua yang memaksa mereka melaksanakan perintah penguncian yang kedua.

Bagi masyarakat yang beranggapan bahawa kita berada dalam situasi yang selamat sekarang, kita tidak, dan kita masih belum memenangi peperangan ini. Ujian saringan Covid-19 masih berterusan manakala pihak berkuasa sedang cuba untuk menaikkan kapasiti ujian harian dan jumlah kes akan terus bertambah selagi semua rakyat Malaysia belum disaring.

Oleh itu, setiap orang memikul tanggungjawab sosial bagi membantu barisan hadapan yang telah mengorbankan masa dan nyawa mereka sejak krisis ini bermula. Sudah pasti kita tidak mahu melihat lebih ramai lagi akan kehilangan pekerjaan atau muflis disebabkan peningkatan dalam nombor jangkitan akibat
sikap endah tak endah kita. Lebih buruk, ia juga boleh menyebabkan kelonggaran yang diberikan semasa PKPB ini ditarik balik. Sejajar dengan hashtag yang sedang tren ketika ini, kita perlu menjalani kehidupan dengan #KitajagaKita.

Oleh: Nur Sofea Hasmira Azahar, Penganalisis Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang fokus kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast