PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Tiga pengawal keselamatan sebuah pasar raya di Sungai Petani ditahan selepas disyaki melarikan sebuah peti besi yang didakwa berisi barangan kemas dan wang tunai yang keseluruhan bernilai RM500,000 dari sebuah kedai emas di dalam pasar raya itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzly, Abu Shah berkata, ketiga-ketiga suspek berusia lingkungan 37 hingga 51 tahun ditahan di sekitar Sungai Petani semalam sejurus selepas pemilik premis itu membuat laporan polis pada hari yang sama.

“Pihak polis menerima laporan kejadian itu daripada pemilik premis yang berusia 28 tahun pada kira-kira 10.30 pagi semalam yang sebelum itu dimaklumkan oleh seorang pekerjanya mengenai keadaan premis yang berselerak ketika hendak memulakan perniagaan.

“Pemilik premis itu memeriksa premisnya dan mendapati sebuah peti besi mengandungi wang tunai dan pelbagai barangan kemas telah dilarikan,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, polis yang membuat siasatan telah menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu dan mendapati lima lelaki dilihat membawa keluar peti besi dengan menggunakan troli pengangkut barang.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku antara malam Sabtu lalu hingga awal pagi semalam.

Adzly berkata, bertindak atas maklumat itu, polis berjaya menahan dua individu yang dirakam dalam CCTV di pasar raya berkenaan pada 5.30 petang dan seorang ditahan di Sungai Lalang, Sungai Petani setengah jam kemudian manakala dua lagi sedang dikesan.

Beliau berkata, kesemua suspek direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – Bernama