Tengku Zafrul Aziz

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan tidak berjanji semua rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) boleh diluluskan tetapi mana-mana rayuan yang memenuhi syarat dan munasabah dengan bukti dokumen yang berkaitan boleh diluluskan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kementerian itu menerima pandangan yang mana terdapat kemungkinan bahawa mereka yang benar-benar layak telah tercicir daripada menerima BPN.

Contohnya, ada yang kehilangan pekerjaan pada tahun ini disebabkan Covid-19 dan status terkini tidak dirakam di dalam pangkalan data.

Ada yang data pasangan belum dikemaskini, malah ada juga yang berdaftar dengan SSM atau merupakan pengarah syarikat tetapi syarikat berstatus tidak aktif, tiada pendapatan dan sebagainya.

Oleh sebab itu, kementerian membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh rayuan BPN sehingga 31 Mei ini.

Pemohon yang tidak lulus boleh menghantar emel beserta dokumen berkenaan kepada [email protected]  ataupun pergi ke mana-mana kaunter LHDN seluruh negara.

”Kami tidak janji semua rayuan boleh diluluskan, tetapi mana-mana rayuan yang memenuhi syarat dan munasabah, dengan bukti dokumen yang berkaitan, Insya-Allah boleh diluluskan,” katanya ketika membentangkan laporan Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) di sini hari ini.

 

Tengku Zafrul berkata, antara 4 hingga 10 Mei, bayaran Fasa Kedua telah bermula melibatkan 5.79 juta penerima dengan jumlah RM2.63 bilion dan bayaran akan diteruskan pada minggu ini.

Bagi mereka yang tiada akaun bank atau berstatus Gagal Kredit, penerimaan bayaran secara tunai akan boleh dibuat daripada BSN mulai 14 Mei, melibatkan 800,000 penerima dengan peruntukan RM300 juta.

Artikel berkaitan: Netizen kecewa rayuan BPN ditolak gara-gara SSM

Daripada 8.3 juta penerima yang telah diluluskan, pencapaian pembayaran Fasa Pertama adalah pada kadar 96% manakala Fasa Kedua yang sedang berjalan ini di tahap 49%.

”Saya telah mengingatkan pegawai kementerian agar memastikan pembayaran disampaikan dengan secepat mungkin dan bayaran dijangka disempurnakan menjelang hujung minggu ini,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, sehingga 10 Mei, seramai 10.6 juta rakyat Malaysia merupakan penerima BPN dengan peruntukan sebanyak RM11 bilion iaitu tambahan RM1 billion daripada peruntukan asal RM10 bilion, komitmen kerajaan untuk membantu rakyat memang tidak berbelah bahagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Harap MOF buat saringan betul-betul supaya duit BPN tidak terlepas ke tangan berjuta rakyat asing yang menggunakan IC palsu. Kesian kepada rakyat Malaysia yang terbeban sepanjang PKP ini.

  2. Apa pun setakat ini kerajaan telah menunjukkan komitmen untuk membantu rakyat yg susah dengan amat cemerlang.

Comments are closed.