Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilihat tekun melakukan kerja-kerja pengambilan sampel Covid-19 terhadap orang awam berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di kawasan Pasar Jalan Othman (PJO), Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 10 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Jika semalam jumlah kes positif Covid-19 paling rendah dengan 16 kes sahaja, hari ini kes positif meningkat sebanyak 21 kes kepada 37 kes hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kenaikan itu menjadikan kes keseluruhan positif Covid-19 di negara ini adalah 6,799 kes.

“Daripada 37 kes itu, empat kes adalah import manakala 33 kes tempatan menjadikan jumlah kulumatif adalah pada 6,779.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,387 kes. Sehingga kini, seramai 16 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Dua kes kematian direkodkan hari ini melibatkan kes di Pahang dan Johor menjadikan jumlah kumulatif kematian Covid-19 di Malaysia iaitu 111.

“Kes kematian ke-110 (kes ke-6743) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 30 tahun yang ditemui mati di Rompin, Pahang. Keputusan ujian sampel COVID-19 yang
diambil semasa bedah siasat didapati positif pada 12 Mei 2020.

“Punca jangkitan belum dikenalpasti dan masih di dalam siasatan.

“Kes kematian ke-111 (kes ke-5195) merupakan lelaki
warganegara Malaysia berumur 90 tahun dan mempunyai latar
belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kronik pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, kes sembuh masih mengatasi kes baharu Covid-19 dengan 58 kes pulih dan discaj hari ini.

Jumlah itu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 yang pulih adalah pada paras 5,281 kes.

Ia merangkumi 77.9 peratus daripada jumlah keseluruhan
kes. – MalaysiaGazette