KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini menafikan dua lagi berita palsu yang ditularkan di media sosial ketika negara menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Pasukan Respon Pantas KKMM, dua laporan palsu kali ini melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan gedung beli-belah, Metrojaya.

DBKL hari ini menafikan dakwaan pihaknya membenarkan penganjuran bazar Ramadan susulan tularnya satu video yang memaparkan kesesakan orang awam membeli juadah berbuka puasa di Kampung Pandan.

“Berdasarkan pemantauan DBKL tapak tersebut bukan bazar Ramadan tetapi hanyalah gerai menjual makanan di tepi jalan yang dikerumuni pengunjung yang tidak mematuhi penjarakan sosial.

“DBKL menegaskan bahawa pihaknya kekal dengan keputusan tidak membenarkan sebarang penganjuran bazar Ramadhan pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Metrojaya menafikan dakwaan bahawa barang jualan di cawangan Metrojaya Suria, Sabah adalah produk tiruan kerana telah mengalami kerosakan setelah premis tersebut ditutup sepanjang tempoh PKP.

“Metrojaya memberi jaminan bahawa semua produk yang rosak tersebut telah digantikan dengan stok baharu.

“Pihak pengurusan Metrojaya juga sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui sebab sebenar produk tersebut mengalami kerosakan sedemikian rupa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette