Muhyiddin mendapat mandat dan sokongan penuh MPT Bersatu sebagai PM kelapan.

KETIKA Malaysia berada di persimpangan jalan dengan kerajaan berusaha sebaik mungkin untuk mengimbangi antara keselamatan kesihatan awam dengan menghidupkan semula ekonomi, sejarah nampaknya berulang ketika negara sekali
lagi berada di ambang krisis politik dengan para ahli politik masih lagi terlibat dengan permainan perebutan kuasa apabila gesaan undi tidak percaya terhadap kerajaan kedengaran dalam suasana negara masih dilanda wabak Covid-19.

Mari kita mengkaji semula keadaan ketika ahli politik buat pertama kalinya bermain politik pada akhir Februari lalu. Pada masa itu, Covid-19 belum lagi diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai satu pandemik. Dari 15 Februari hingga 27 Februari, jumlah jangkitan kekal pada 22 kes sebelum meningkat kepada 25 kes pada 28 Februari. Ini bermakna tidak ada jangkitan baharu dari 16 Februari hingga 27 Februari (selama 12 hari berturut-turut kes baharu adalah sifar) sebelum jangkitan baru meningkat kepada 3 kes pada 28 Februari.

Perlu diingatkan 24 Februari hingga 1 Mac adalah tempoh permainan politik ala Permainan Singgahsana (Game of Thrones) yang telah mencetuskan krisis politik sehingga berakhir dengan pelantikan seorang Perdana Menteri baru yang mengangkat sumpah pada 1 Mac. Tidak ada yang luar biasa ketika itu kerana pada 1 Mac, kes Covid-19 baharu meningkat sebanyak 4 kes, menjadikan jumlah jangkitan kepada 29 kes, dengan kes baru selepas itu masih berada pada angka satu digit.

Yang luar biasa pada ketika itu adalah dengan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari sebagai Perdana Menteri dan pelantikannya semula sebagai PM interim, kerajaan beroperasi tanpa adanya barisan Menteri Kabinet. Ketika "kekosongan" inilah, acara Tabligh diadakan di Masjid Sri Petaling yang menarik kehadiran kira-kira 14,500 orang dari 27 Februari hingga 1 Mac, dengan 11 Mac adalah hari WHO mengisytiharkan wabak Covid-19 sebagai pandemik.

Kesan daripada pergolakan ini adalah selepas 1 Mac, jumlah jangkitan harian meningkat dari angka dua digit (29 kes keseluruhan) menjadi angka tiga digit bermula 9 Mac (117 kes) dan seterusnya ke angka empat digit pada 20 Mac (1,030
kes). Kes baru pula mengikuti jejak yang sama – dari angka satu digit pada 1 Mac (4 kes baharu) hingga dua digit pada 4 Mac (14 kes baru) dan terus meningkat menjadi angka tiga digit pada 15 Mac (190 kes baru), dengan kematian harian pertama pada 17 Mac (2 kematian).

Kerajaan buat pertama kalinya dalam sejarah telah membuat langkah yang berani dengan memperkenalkan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac (jumlah kes 790, kes baharu 117) yang akhirnya membawa jangkitan baru kembali ke angka dua digit pada 15 April (85 kes). Sehingga 9 Mei, jangkitan baru berjumlah 54 kes (masih dua digit) sementara jumlah jangkitan keseluruhan 6,589 kes; 108 kes kematian; dan 4,929 telah pulih, dengan hanya 1,552 kes aktif termasuk 18 di ICU.

Perjalanan mengatasi krisis Covid-19 masih lagi jauh selagi kita tidak melihat angka satu digit kes jangkitan baru dalam masa yang terdekat ini terutama sekali, apabila vaksin dan ubat-ubatan yang berkesan masih belum berada di pasaran. Namun, secara amnya keadaan telah bertambah baik, dengan kerajaan memperkenalkan PKP Bersyarat dengan beberapa kelonggaran pada 4 Mei untuk menghidupkan semula ekonomi dengan membukanya secara terkawal.

Kerajaan melakukan ini kerana PKP telah menelan kerugian RM63 bilion terhadap ekonomi negara di samping menghadapi kenyataan pahit kadar pengangguran meningkat 3.9% pada Mac, dengan jumlah penganggur meningkat 17.1% kepada 610,500 orang, berdasarkan kenyataan terbaru Ketua Statistik Negara, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin pada hari Jumaat (8 Mei). Ini dibandingkan dengan kadar pengangguran 3.3% pada Februari dan dengan itu Jabatan Perangkaan Malaysia memaklumkan kadar pengangguran pada suku pertama 2020 (1Q20) juga meningkat kepada 3.5% – tertinggi sejak 2Q17.

Walaupun terdapat keperluan mendesak mengatasi dimensi ekonomi ini, kerajaan masih prihatin terhadap dimensi keselamatan kesihatan awam. Ini kerana kemungkinan besar berlakunya gelombang jangkitan kedua yang lebih berbahaya sekiranya semua norma baru berkaitan dengan penjarakan sosial dan kebersihan diri diabaikan oleh rakyat. Lantaran itulah, peringatan terus-menerus mengenai keperluan mematuhi SOP untuk perniagaan yang ingin dibuka semula semasa PKP Bersyarat, dan SOP untuk rakyat berjamuan di luar serta dorongan pelaksanaan digitalisasi dan e-perniagaan.

Pada saat genting ini, muncul pula dimensi politik untuk mengadakan undi tidak percaya terhadap pemerintah. Adakah para ahli politik telah kehilangan keutamaan? Bagaimanakah undi tidak percaya itu boleh membantu menghidupkan semula ekonomi negara atau bagaimanakah ia dapat memastikan gelombang jangkitan kedua tidak akan terjadi?

Marilah kita buat seketika mengandaikan undi tidak percaya itu berlaku. Adakah ini bermakna Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan lagi menjadi PM? Sudah tentu beliau masih menjadi PM kerana beliau harus mengadap sembah Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) dalam kedudukannya sebagai PM untuk memberi nasihat kepada Raja mengenai keadaan politik negara.

Menurut beberapa peguam perlembagaan, semuanya bergantung pada bagaimana Muhyiddin memberi penerangan kepada YDPA. Sekiranya dalam nasihatnya, beliau meminta Parlimen dibubarkan dan ini dipersetujui Raja, maka pilihan raya akan segera diadakan. Namun, beliau akan tetap menjadi PM, walaupun PM untuk sementara, sehingga pilihanraya selesai dan PM baru (mungkin beliau lagi) mengangkat sumpah.

Jika permintaan pembubaran Parlimen tidak dipersetujui Agong, Muhyiddin harus mengundurkan diri dan seorang PM baru akan dilantik oleh YDPA sebagaimanayang diperuntukkan dalam Perlembagaan, peruntukan yang sama yang telah digunakan Raja untuk menyelesaikan kemelut politik pada Februari lalu. Sebaliknya, jika dalam nasihatnya beliau mengatakan, "Saya telah kehilangan majoriti di Parlimen", maka Raja tidak dapat membubarkan Parlimen kerana Perlembagaan mengizinkan YDPA melakukan demikian dengan nasihat PM. Dalam keadaan ini, seorang PM baru akan dilantik oleh Raja dengan cara yang sama seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Lantaran itu, kecuali jika Parlimen dibubarkan, semuanya kembali kepada YDPA dalam menentukan siapakah yang akan menjadi PM baru. Dalam pada masa yang sama, sementara menunggu kemelut politik ini berakhir, negara dan rakyatlah yang akan menanggung akibat dalam kegawatan ekonomi yang semakin bertambah buruk, dan kembalinya wabak Covid-19 pusingan kedua dengan penuh dendam berbanding dengan penampilan semulanya pada Mac lalu.

Jamari Mohtar, Pengarah, Media & Komunikasi di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast