Carlos Sainz akan mengisi kedudukan Vettel di Ferrari yang akan ditinggalkan pelumba itu akhir musim ini.

LONDON – Carlos Sainz dijangka menggantikan tempat Sebastian Vettel dalam pasukan Formula 1 Ferrari akhir musim ini.

Manakala Danial Recciardo akan mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan Sainz di McLaren.

Perbincangan untuk melengkapkan pernghijrahan dan pengesahan kedua-dua pelumba itu sedang berjalan dan dijangka dimuktamadkan secara rasmi hujung minggu ini.

McLaren memburu Ricciardo sebelum ini dan pengesahan khidmat pelumba sensasi itu dianggap satu durian runtuh untuk McLaren bagi memperbaiki persembahan mereka di atas litar nanti.

Bagaimanapun mereka perlu melepaskan Sainz terlebih dahulu daripada obligasi berkontrak sebelum mengesahkan khidmat pelumba warga Australia itu.

Sainz sedang dalam proses rundingan bersama McLaren untuk kekal dalam pasukan pada musim akan datang, namun tawaran menyertai beberapa pasukan elit berjaya memikat keputusan pelumba itu menyertai Ferrari.

Proses rundingan antara Ferrari dan Sainz dikatakan berada dalam fasa terakhir.

Pasaran F1 terkesan dengan berita rundingan antara Vettel dan pasukan skuderia dari Itali gagal mencapai kata sepakat yang diharapkan.

Ferrari mengumumkan pada Selasa lalu bahawa juara dunia empat kali itu akan bercerai dengan pasukan akhir musim ini.

Ferrari bagaimanapun mengenalpasti Sainz sebagai pengganti terbaik Vettel untuk menyokong pelumba mudanya Charles Leclerc yang mula ‘mengganas’ dengan menaiki podium beberapa kali semasa penampilan julung kali musim lalu.

Prestasi itu juga didakwa antara sebab yang menggugat status Vettel dan mempengaruhi keputusan Vettel meninggalkan Ferrari.-MalaysiaGazette