Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Selepas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan semua masjid, surau Jumaat dan beberapa surau terpilih di Wilayah Persekutuan dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat esok dengan syarat hanya dihadiri oleh 30 jemaah sahaja termasuk imam, timbul pula persoalan apakah sah solat tersebut?

Ini kerana, sejak kecil lagi kita diajar bahawa syarat sah solat Jumaat adalah mempunyai sekurang-kurangnya 40 orang jemaah.

Demikian jawapan yang diberikan oleh Dr. Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan ketika ditanyakan soalan tersebut:

“Perkara ini telah dibahaskan oleh Majlis Fatwa atau Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang mana ashabul samahah ini telah melihat dalam kerangka fekah yang luas.

“Sebab itu ada disebut tiga orang, empat orang, lima orang dan ada yang 12 orang.

“Mazhab kita sendiri (Mazhab Syafi’e) mempunyai dua pendapat iaitu ada yang mengatakan 40 orang. Itulah pendapat yang paling mahsyur dan ada pendapat qaul qadim (pendapat yang lebih lama) yang berkata, kurang daripada itu pun dibolehkan.

“Jadi, kita di Wilayah Persekutuan mengambil pandangan Imam Al-Ghazali dalam satu pandangan iaitu yang dikemukakan oleh sebahagian Al-Shafie’ah, jika tempat tersebut ada 20 orang atau 30 orang, boleh didirikan solat Jumaat,” katanya semasa sidang media khas hari ini.

Dr. Zulkifli juga meminta jawatankuasa masjid mengambil peranan untuk memastikan jemaah yang datang untuk menunaikan solat berjemaah adalah mengikut apa yang telah ditetapkan.

Bagi orang ramai yang tidak berpeluang untuk menunaikan solat Jumaat atau solat berjemaah, beliau berkata, itu termasuk dalam keuzuran berikutan negara masih belum bebas daripada pandemik.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast