Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tekun melakukan kerja-kerja pengambilan sampel Covid-19. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan menunjukkan negeri Terengganu menghampiri sifar kes aktif Covid-19 apabila hanya mencatatkan tujuh kes berbaki di negeri itu pada Rabu.

Direkodkan hanya dua daerah di negeri itu masih dikategorikan sebagai zon kuning jangkitan Covid-19 dengan daerah Besut hanya mencatatkan lima kes dan Dungun dua kes.

Enam daerah di negeri itu sudah dikategorikan hijau dengan sifar kes positif Covid-19.

Terengganu bakal menjadi negeri keenam bebas Covid-19 sekiranya ketujuh-tujuh pesakit itu sembuh kelak selepas Kedah, Kelantan, Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

Perak bagaimanapun dikategorikan semula sebagai negeri merekodkan positif Covid-19 apabila dua pesakit di Teluk Intan dijangkiti Covid-19.

Dalam pada itu, negeri Melaka juga turut mencatatkan jumlah kes terendah dengan 18 kes.

Daerah Alor Gajah merekodkan lapan kes, Jasin enam kes dan Melaka Tengah empat kes.

Dengan perkembangan itu, zon merah kini berada pada paras lapan zon dengan empat daripadanya masih di Kuala Lumpur iaitu mukim Ibu Kota 155 kes, Batu 104 kes, Kampung Baru 97 kes, Sri Petaling 45 kes.

Selangor masih kekal satu zon merah dengan daerah Petaling mencatatkan 61 kes.

Daerah Rembau, Negeri Sembilan pula dengan 151 kes, daerah Seremban 41 kes, dan Kuching, Sarawak 77 kes.

Zon kuning bertambah tiga kawasan dengan Kinabatangan, Sabah 2 kes dan masing-masing satu kes di Pekan dan Rompin, Pahang.

Sementara itu, zon hijau juga menunjukkan pertambahan empat daerah itu di Asajaya dan Serian di Sarawak; Beluran di Sabah dan Kemaman di Terengganu.

Untuk rekod, terdapat 123 daerah zon hijau di seluruh negara dengan sifar kes aktif.

Setakat ini, sebanyak 6,779 kes Covid-19 direkodkan di seluruh negara dengan 111 kematian.

Sebanyak 5,281 orang pulih sementara 1,387 masih dirawat. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.