PETALING JAYA – Seorang penganggur berusia, 40, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membakar pintu rumah jirannya pada awal Mei lalu.

Tertuduh, Amardeep Singh, yang berdiri tenang di kandang tertuduh membuat pengakuan itu selepas kes pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Aswarnida Affandi.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak bekerja dan tinggal di Puchong ditegur hakim kerana bertindak berdiam diri untuk seketika ketika ditanya sama ada dia memahami pertuduhan dan mengaku bersalah atau tidak apabila ditanya oleh jurubahasa wanita.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat menggunakan api dengan niat hendak membinasakan rumah milik jirannya, Aizuddin Ambia, 34 iaitu dengan membakar pintu hadapan rumah tersebut.

Amardeep dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Court 1, Jalan PU7, Taman Puchong pada jam 12.40 tengah malam pada 8 Mei lalu.

Ibunya yang merupakan penjamin memberitahu Azwarnida bahawa dia merupakan ibu tunggal yang tidak bekerja telah ditahan hospital selama tiga minggu kerana kecederaan tangan kiri dan rawatan akibat kencing manis.

“Ketika saya dirawat di hospital anak saya tergamak melakukan jenayah tersebut dan saya kini terpaksa mendapat keizinan pelepasan sementara dari rawatan hospital dan berdiri di sini untuk menjamin dia,” katanya.

Ketika ditanya hakim bagaimana hendak menjamin anaknya itu, kata wanita tersebut berkata, dia akan menggunakan wang simpanan yang ada memandangkan Amardeep merupakan satu-satunya anak di bawah tanggungannya manakala dua lagi anak perempuannya sudah berkahwin.

“Saya harap dan rayu satu jumlah jaminan rendah diberikan puan hakim, tetapi saya tak tahu kenapa saya perlu berbuat demikian (jamin anak),” kata ibu Amardeep.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Firdaous Mohamed Idris mencadangkan agar tiada ikat jamin ditawarkan kepada tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan diberi dengan kadar rendah kerana dia perlu menjaga ibunya yang menghidap kencing manis.

Aswarnida menetapkan ikat jamin sebanyak RM 7,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Jun ini sebagai sebutan semula kes tersebut.

Hakim itu turut menetapkan tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis terdekat pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes perbicaraan selesai.

Selain itu, Amardeep juga dilarang untuk berhubung dengan saksi atau mangsa sehingga perbicaraan selesai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast