Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diminta melihat semula prosedur operasi standard (SOP) berhubung program ujian saringan Covid-19 untuk para pekerja industri yang dibiayainya.

Di bawah SOP itu, Perkeso telah melantik klinik-klinik swasta (klinik panel) untuk menyelia prosedur sampel swab yang disediakan oleh BP Lab kepada klinik.

Pencarum Perkeso dibolehkan membuat saringan dengan hadir ke klinik yang dilantik atau ke BP Lab untuk pengambilan sampel.

Selain itu, ujian saringan secara kumulatif (beramai-ramai) juga dibuat di kilang-kilang.

Bagaimanapun, kata Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), kaedah itu ada kelemahannya kerana keterbatasan BP Lab untuk menyaring pencarum dalam satu jumlah yang besar.

Malah, ia turut menyulitkan pencarum kerana pelantikan klinik panel yang melaksanakan ujian saringan itu tidak melibatkan semua klinik swasta.

SOP yang ditetapkan pula hanya membolehkan sampel dihantar ke BP Lab sahaja.

Perdim berkata, SOP Perkeso ini akan menyebabkan pihak ketiga mengaut keuntungan dengan mencari pencarum-pencarum secara kolektif.

Dari segi bayaran pula, Perkeso melunaskan kepada BP Lab dan tidak melalui klinik-klinik terlibat.

Oleh itu, Perdim juga mahu Perkeso menjelaskan bayaran ujian saringan yang dilakukan oleh pencarum kepada klinik-klinik terlibat dan bukan melalui BP Lab.

Perdim juga mencadangkan supaya semua klinik swasta diberi kebenaran melakukan ujian saringan ini bagi membantu kerajaan mengesan pembawa wabak Covid-19 dengan cepat,

Untuk lebih efektif, dicadangkan semua klinik yang mahu melaksanakan ujian saringan ini dibenarkan berkolaborasi dengan makmal-makmal lain yang berada di sekitar lokasi klinik bagi membolehkan sampel swab terus dihantar selepas ujian dijalankan.

Dengan pengagihan ini, keputusan ujian saringan yang dijalankan dapat diketahui dengan cepat berbanding tertumpu kepada sebuah syarikat sahaja, jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast