Hanya kelihatan beberapa pekerja Majlis Perbandaran Muar memasang lampu di sekitar Uptown Maharani.

Marhaba… Sepi. Itulah satu satunya perkataan paling tepat untuk menggambarkan keadaan di Muar Bandar Maharani Bandar DiRaja.

Usai solat terawih di rumah ibu angkat Che Pah malam semalam, Che Pah mengambil keputusan untuk ronda Bandar Muar.

Che Pah mahu menyaksikan sendiri keadaan sebenar Bandar Muar untuk sambutan Aidil Fitri tahun ini.

Maklumlah, tahun ini tiada Bazaar Ramadhan mahupun Bazaar Aidil Fitri yang menjual kelengkapan untuk menyambut Raya.

Sepanjang perjalanan menuju ke pusat bandar Che Pah rasakan satu kelainan. Jalan sangat lengang. Hanya kereta Che Pah sahaja sebiji di tengah jalan walaupun jam baru menunjukkan sekitar jam 9.30 malam.

Dalam hati Che Pah berkata, apa sudah jadi? Ini benar benar di luar kebiasaan. Biasanya di penghujung Ramadhan dan semakin hampir raya, jalan menuju ke pusat bandar pasti sesak.

Che Pah ambil keputusan untuk melalui jalan dari bangunan Mahkamah Syariah dan pejabat kerajaan menuju ke lokasi yang menempatkan Uptown Maharani.

Jalan lengang. Deretan kedai di kanan jalan semuanya sudah tutup. Gelap.Sepi seolah tak berpenghuni.

Sesampai di lokasi Uptown Muar yang terletak betul betul berhadapan pejabat Majlis Perbandaran Muar atau MPM, Che Pah lihat suasana sangat sunyi.

Tiada lagi kemeriahan gerai menjual kelengkapan untuk menyambut raya sebagaimana tahun sebelum ini.

Suasana sepi di bandar Muar

Sebenarnya setiap tahun Uptown Muar ini pasti menjadi tumpuan warga Muar. Sekitar jam 8 malam kawasan ini sudah sesak barat dengan kereta dan manusia.

Uptown Maharani in dibuka pada setiap malam pada bulan Ramadhan. Ia memulakan operasi sekitar jam 5 petang hingga ke tengah malam.

Malam raya pula waktu operasi berlanjutan hingga ke awal Subuh. Pada hari biasa, Uptown Maharani hanya dibuka pada hari Jumaat dan Sabtu sahaja.

Namun tahun ini kawasan ini sepi. Tiada langsung kelibat manusia. Apatah lagi jerit pekik peniaga yang berusaha memikat pembeli untuk membeli barangan mereka.

Yang ada semasa Che Pah sampai ke kawasan ini ialah beberapa orang petugas Majlis Perbandaran Muar yang sedang membetulkan lampu jalan.

Selebihnya hanya bertemankan sepi. Sesepi hati kita semua yang tidak dapat beraya tahun ini. Jangan sedih ya.

Che Pah berhentikan kereta di tepi jalan. Che Pah keluar dari kereta lantas merakamkan suasana persekitaran

Che Pah amati deretan kedai menjual karpet yang terdapat di kiri kanan Uptown Maharani.semua pintu kedai tertutup rapat. Tiada lagi gantungan lampu kelam kelip yang menceriakan suasana.

Tahun sebelum ini kedai karpet ini meriah dengan lampu. Karpet bergantungan di depan kedai untuk menarik pembeli.

Para peniaga karpet waktu itulah mengambil kesempatan dengan menawarkan harga runtuh untuk permaidani yang dijual di kedai mereka.

Ada yang beri harga runtuh. Tak kurang yang menawarkan harga terduduk. Pendek kata macam macam jenis harga ditawarkan.

Che Pah pun kurang faham, kenapa bila raya masing masing sibuk hendak beli karpet baru. Macam tak sah raya kalau tak tukar karpet baru. Tapi itulah perangai orang kita. Setahun sekali apa salahnya kata mereka.

Pelbagai jenis gerai yang menjual baju raya terdapat di Uptown Maharani ini juga. Baju kurung, kebaya, jubah, kurta dan baju Melayu. Penasaran dibuatnya nak memilih. Semua cantik dan murah.

Dekat Muar ini ada satu konsep. Barangan tidak boleh dijual dengan harga terlalu mahal atau harga syok sendiri.
.
Akibatnya nanti baju yang dijual tidak akan di sentuh pun pembeli. Mereka akan hanya menjeling tajam atau melirik manja saja pada baju yang dijual dengan harga terlalu mahal.

Maklum, Muar bukan kota metropolitan. Jadi kuasa beli penduduk masih terhad. Namun begitu suasana perniagaan sekarang jauh lebih baik dari dulu.

Tempat sesak seumpama Uptown Maharani bukan menjadi lokasi tarikan bagi Che Pah menjelang raya.

Che Pah kurang gemar tempat yang penuh dengan manusia dan terpaksa berjalan sambil bergesel bahu dan berlaga punggung.

Jarang Benar Che Pah singgah di Uptown Muar ini menjelang raya. Kecuali jika terpaksa membeli keperluan tertentu.

Malam raya adalah waktu kemuncak di Uptown Muar. Waktu ini semua barangan termasuk kuih raya akan dilelong.

Makanya pembeli dari luar Bandar Muar seperti dari Pagoh, Lenga, Bukit Kepong dan Bukit Gambir akan turun.

Ini menjadikan Uptown Maharani lebih meriah. Meriah dengan aksi penjual yang cuba menarik perhatian pembeli. Meriah juga dengan gelagat pembeli yang masih cuba menawar harga.

Ini membuatkan senario malam raya di sini sangat hidup hingga ke awal Subuh. Boleh dikatakan Bandar Muar sangat happening dibeberapa malam sebelum raya.

Rasa Che Pah mungkin ada yang bertemu jodoh pada malam raya di Uptown Maharani ini. Bukan semua yang datang tujuan untuk membeli.

Ramai yang datang sekadar mencuci mata. Tak kurang yang sudah terpaku dek jelingan manja. Lalu hati membuahkan cinta. Uptown Maharani jadi saksinya.

Namun kini semua ibarat mimpi. Tahun ini tiada lagi semua itu. Kemeriahan yang dinikmati dulu kini tidak dirasakan lagi.

Tiada lagi gerai baju. Tiada lagi gerai kuih raya. Kedai karpet pun tiada siapa lagi kunjungi. Bandar Muar kini seolah sedang berehat dari segala aktiviti perekonomian yang meletihkan.

Che Pah tak pasti samada kita akan rasai kemeriahan itu kembali. Covid 19 telah merenggut segalanya dari kita.

Sekelip mata semua berubah. Kita jadi takut untuk bersesak walau itu yang kita gemari dulu. Kita sudah tidak melepak di mamak usai solat terawih.

Kita sudah tidak perlu berembun jantan semata mata hendak mendapatkan kuih raya yang dilelong di malam raya.

Tahun ini tak perlu baju raya. Kalau ada pun, cukup sepasang dua untuk dipakai di rumah. Kita tidak dibenar berziarah Raya.

Kerajaan Negeri Johor juga sudah melarang ziarah kubur di pagi Raya. Baru sahaja kenyataan dikeluarkan.

Sekali Che Pah fikir enak juga cara yang sebegini. Jimat belanja. Poket ketua keluarga pun tidaklah bocor. Bagi yang bujang pun tidak perlu makan Maggie selepas Raya dek sakan berbelanja sebelum Raya.

Bagi Che Pah, semua ada hikmahnya. Yang Maha Kuasa sedang mendidik kita untuk berjimat dan berbelanja dengan berhemah.

Kebanyakan yang kita sediakan untuk Raya adalah keperluan adat. Manakala yang dituntut sebenarnya sederhana sahaja. Maka tiba sudah masanya kita back to basic. Insyaallah hidup kita pasti bahagia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast