KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat (PPZ) hari ini mencatatkan rekod baharu apabila berjaya membuat kutipan zakat fitrah sehingga RM4 juta bagi transaksi dalam talian bagi Wilayah Persekutuan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shukri Yusoff berkata, kutipan zakat fitrah ini menunjukkan peningkatan luar biasa berbanding tahun lalu dan ia perkembangan yang baik untuk PPZ.
“Kalau tahun lepas kutipan kita dalam talian RM400,000 dan alhamdulillah pada pagi tadi kutipan kita sudah dapat RM4 juta untuk zakat fitrah.
“Dana zakat fitrah ini adalah di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di mana tahun lepas saja lebih kurang RM9.8 juta termasuk PPZ.
“Itu satu signal Insya-Allah kutipan tahun ini untuk zakat fitrah akan bertambah, apatah lagi orang tak balik kampung dan orang tak keluar rumah, jadi mereka memilih saluran dalam talian di fitrah.zakat.gov.my,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu beliau menyantuni 50 gelandangan dengan memberi sumbangan berupa pakaian dan duit raya menerusi Program Syukuri Nikmat Menjelang Hari Raya Bersama Gelandangan.
Dalam pada itu, kutipan zakat fitrah pada tahun ini juga sama ada transaksi secara manual mahupun dalam talian mencatatkan peningkatan sehingga 8 peratus.
“Kutipan kita lebih baik berbanding tahun lepas kenaikan 8 peratus, dari sudut kutipan zakat fitnah, hari ini kita berada dalam 29 Ramadhan dan ini satu peningkatan sangat luar biasa.
“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada rangkaian zakat dan juga masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan yang terus memberikan kepercayaan kepada PPZ.
“Kalau kita tengok, sumbangan masyarakat dalam bentuk zakat ia menggambarkan sebaliknya kerana PPZ sering dilabel sebagai tidak berperanan,” katanya.
Katanya lagi, selain zakat fitrah, pihaknya juga menerusi Tabung Musa’adah Covid-19 telah membelanjakan RM6juta untuk 20,000 orang yang kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.
“Istimewanya Tabung Musa’adah Covid-19 ini kita membuat agihan ini di seluruh negeri dan negara di mana kita tak membezakan agama, bangsa dan keturunan.
“Orang yang terjejas saja, kita akan bantu, cuma untuk orang Islam, kita guna dana zakat. Kalau bukan Islam kita guna dana CSR,” katanya lagi. – MalaysiaGazette