KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyalurkan sejumlah RM4.3 juta untuk diagihkan kepada pihak yang memerlukan.

Dengan tema ‘Berkongsi Rezeki Dalam Keberkatan Ramadan’, TNB mendekati lebih 21,000 golongan memerlukan untuk tujuan itu.

“Inisiatif ini melibatkan warga kerja kami turun padang ke segenap pelusuk negeri, menziarahi dan menyantuni golongan yang kurang bernasib baik.

“Menerusi penglibatan warga kerja TNB ini, wang zakat berjumlah RM4.325 juta telah diagihkan sejak awal Ramadan lalu. Pendekatan ini, Insya Allah dapat mengukuhkan amalan sentiasa bersyukur, prihatin dan berkongsi rezeki bersama masyarakat,” kata Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman.

Sebahagian daripada 50 keluarga asnaf di kawasan sekitar Pasir Gudang, Johor Bahru yang menerima bantuan makanan dan keperluan harian daripada wakalah zakat Tenaga Nasional Berhad (TNB). Pemberian sumbangan ini adalah tanda prihatin TNB bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat wabak Covid-19 sepanjang Ramadan ini.

Antara yang menerima manfaat adalah fakir miskin, warga emas, orang kurang upaya (OKU), anak yatim serta golongan B40 yang terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana.

Bantuan diagihkan terus oleh warga kerja TNB secara berperingkat sejak awal Ramadan, dengan sasaran penerima sumbangan ditumpukan kepada mereka yang tinggal di kawasan berhampiran lokasi operasi TNB di seluruh Semenanjung serta Sabah.

Wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat TNB kepada seorang asnaf yang mempunyai anak OKU di Tunjung Kota Bharu. Sumbangan berbentuk barangan keperluan harian dan wang itu adalah satu daripada usaha TNB untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

Turut disalurkan bantuan wang zakat TNB oleh warga kerjanya.

Bantuan zakat yang diagihkan adalah dalam bentuk wang tunai saku serta barangan keperluan harian.

“Semoga usaha murni kami memperoleh keberkatan di bulan Ramadan yang mulia ini. Kami juga berharap, sedikit sebanyak ia dapat memberi kegembiraan kepada mereka yang dihimpit kesukaran, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri nanti,” tambah Roslan lagi.

Program ini turut melibatkan masyarakat bukan Islam yang layak. -MalaysiaGazette