Foto hiasan

Marhaba.. Pernah Che Pah ceritakan dalam artikel sebelum ini yang Che Pah gemar menanam pokok pokok bunga. Itu antara minat Che Pah.

Sebenarnya minat ini telah dipupuk sejak Che Pah kecil lagi. Emak adalah sosok yang memainkan peranan penting dalam menyemai benih sehingga mencambahkan minat yang mendalam dalam diri Che Pah.

Saya pernah cerita yang Emak ajar Che Pah menanam pelbagai jenis tumbuhan termasuk ulam ulaman dan herba. Di Rumah Tanjong semua ada. Emak tanam semua supaya senang untuk diguna kala diperlukan.

Secara tidak langsung Emak ajar Che Pah berjimat. Apabila kebanyakan herba sudah ditanam di sekeliling rumah maka tidak perlu dibeli di kedai lagi.

Selain berjimat, Emak ajar Che Pah berniaga secara tidak langsung. Dalam famili Arab, anak dididik agar pandai mandiri.Kebanyakan ibu bapa akan mengajar anak mereka untuk berniaga.

Tidak kira perniagaan itu besar atau kecil, itu belakang kira. Paling penting kami diasuh agar punya minat yang mendalam dalam perniagaan.

Dalam darah kami mengalir darah peniaga. Dari datuk nenek kami hingga kini, kami suka berniaga dan boleh dikatakan komuniti Arab antara komuniti pintar berniaga.Ini fakta yang tidak boleh dipertikaikan.

Disebalik aktiviti perniagaan itu sebenarnya ada ilmu yang mahu diterapkan oleh nenek moyang kami.

Rahsianya ialah mereka mahu kami generasi muda punya semangat yang tinggi dan berusaha tanpa mengharap belas dari orang lain mahupun pihak kerajaan.

Setelah diasuh oleh Emak, diizin Allah datang ilham diminda Che Pah. Pada mulanya Emak tunjukkan cara. Emak tanam ulam raja. Setelah tumbuh subur dan membesar, Emak petik pucuknya.

Pucuk ulam raja itu tadi Emak bersihkan dan ikat satu persatu. Semua ini Emak buat pada petang Khamis.

Esoknya hari Jumaat Che Pah bercuti sekolah. Emak titip pada Che Pah untuk dijual di pasar kala saya membantu Walid berniaga surat khabar. Che Pah jual 20 sen untuk satu ikat. Habis licin semua dijual.

Che Pah jadi seronok. Emak kata jika kita usaha maka semua boleh jadi duit. Usah duduk berpeluh tubuh. Sikit sikit lama lama jadi bukit kata Emak.

Setelah melihat hasil nya, Che Pah jadi suka. Di belakang Rumah Tanjong dulu banyak pokok pisang batu tumbuh meliar. Che Pah perhati satu persatu daun daun pisang yang ada. Ini prospek buat Che Pah.

Emak ajar Che Pah bagaimana hendak kait pelepah pisang yang agak tinggi. Maklum masa itu Che Pah budak lagi. Sekitar Darjah 3.

Emak ambil batang buluh. Emak ikat pisang dihujungnya ketat ketat. Kemudian Emak kait pelepah pisang yang tinggi. Che Pah belajar kemahiran hidup nampaknya dari Emak. Selepas itu Che Pah buat sendiri.

Daun pisang yang sudah dikait Che Pah himpunkan. Che Pah raut satu persatu. Kemudian Che Pah lap bersih sebelum Che Pah lipat kemas kemas dan ikat menggunakan tali rafia.

Esok paginya Che Pah bawa jual ke pasar. Berebut peniaga nasi lemak dan kuih muih beli dengan Che Pah. Che Pah jual 20 sen satu ikat. Minggu depan mereka tempah siap siap dengan Che Pah.

Wahh kata hati Che Pah. Ini sudah baik. Dari cuba cuba kini Che Pah sudah boleh menjadi pembekal daun pisang nampaknya.

Selain daun pisang, Che Pah usahakan tanah kosong di belakang rumah Che Pah. Che Pag tanya Emak bagaimana hendak tanam ulam kacang botol.

Emak kata Che Pah perlukan bersihkan dulu rumput dan lalang. Che Pah tajak semua rumput dan lalang hingga bersih.

Kemudian Emak ajar Che Pah untuk buat batas dan menyemai benih. Emak kata perlu ada para untuk pokok tersebut melilit. Che Pah cari pokok2 kayu di belakang rumah dan Che Pah buat para seperti Emak ajar.

Tanah belakang rumah penuh dengan para. Tiap tiap hari selepas balik sekolah agama sekitar jam 5 petang Che Pag siram benih yang sudah disemai.

Alhamdulillah tidak sampai seminggu semua benih disemai sudah bercambah.Dalam masa sebulan pokok kacang botol yang Che Pah tanam sudah merimbun dan membuahkan hasil.

Gembira betul hati Che Pah. Buah kacang botol yang muda Che Pah petik. Che Pah basuh bersih dan ikat.Keesokan harinya Che Pag bawa ke pasar dan jual.

Selain kacang botol, Che Pah tanam pokok kesum dan selasih. Habis tanah kosong yang ada Che Pab tanam dengan kesum dan selasih. Kedua pokok herba ini mudah tumbuh.

Che Pah bawa juga jual di pasar. Dari satu jenis produk saya pelbagaikan supaya jadi lebih menarik. Alhamdulillah taktik ini berjaya. Setiap minggu Che Pah sudah ada pelanggan tetap. Kadang Kadang Che Pah belum sampai, sudah ada pelanggan menunggu.

Selain menjual ulam ulaman dan pucuk herba, Emak dan Umi ajar Che Pav cara menternak ayam.Apabila ke pasar, Che Pah geram tengok anak ayam daging yang comel comel. Harganya 50 sen seekor waktu itu.

Di rumah memang Emak sudah membela ayam kampung. Emak tunjukkan Che Pah bagaimana hendak buat tempat untuk ayam mengeram. Emak suruh Che Pah siat sabut kelapa dan diletak dalam kotak kayu sebagai tempat ayam bertelur.

Emak kata kita perlu rampas beberapa biji telur. Contohnya jika hari ini ayam bertelur, maka biarkan telurnya di dalam kotak tersebut. Hari kedua telur perlu diambil. Dan begitulah seterusnya.

Ini kerana tidak semua telur akan berjaya dieram. Ayam kampung biasanya akan bertelur banyak. Maka jika tidak dirampas sebilangan telur akan jadi telur tembelang.

Melihat minat Che Pah, Umi bawa Che Pah untuk membeli anak ayam daging. Duit hasil jualan tadi Che Pah gunakan pula untuk beli anak ayam daging.

Biasanya beberapa bulan sebelum hari raya Che Pah akan membeli lebih banyak anak ayam daging. Biasanya Che Pah bela antara 50 hingga 70 ekor.

Ayam daging cepat membesar. Ia hanya perlukan masa antara 3 bulan hingga 5 bulan untuk besar. Jadi lagi empat atau lima bulan sebelum Hari Raya Che Pah sudah merangka bisnes kecil .

Che Pah beli anak ayam daging. Balik rumah Che Pah masukkan dalam kotak besar. Letak lampu minyak tanah gambar nyonya cantik siap bercemini di dalamnya pada malam hari.

Ini kerana anak ayam daging tiada Emak. Jadi pada malam hari mereka akan duduk berkumpul dekat lampu minyak tanah ini tadi untuk memanaskan badan.

Dalam hati budak Che Pah berkata, kesian awak takde Emak kan. Awak anak yatim piatu. Bila ingatkan sekarang kata hati Che Pah itu, Che Pah gelak sendiri.

Che Pah kasi makan dedak dan air. Apabila anak ayam sudah membesar, Che Pah alih masuk ke dalam reban. Sekeliling reban Che Pah kepung dengan kawat mata punai.

Che Pah buat kawasan reban yang luas. Che Pag mahu ayam yang Che Oah bela rasa bebas dan punya kawasan yang luas untuk bergerak.

Emak pula beri sokongan. Emak simpan semua baki lauk dan nasi yang tidak habis. Emak tidak buang. Emak kasi ayam makan. Emak kata ayam akan jadi lebih gemuk dan kuat jika makan makanan seperti ini.

Lagi dua minggu sebelum Hari Raya menjelang tiba, Che Pah sudah mengambil tempahan. Che Pah pergi ke semua rumah jiran dan nyatakan yang Che Pah ada jual ayam.

Masing masing buat tempahan. Ada yang mahu dua ekor. Ada yang nak lima ekor. Che Pah catat satu persatu.

Che Pah tanya juga hendak dipotong berapa. Che Pah catat lagi agar tidak lupa. Tentang harga, Che Pah ikut harga pasaran. Cumanya Che Pah ada perkhidmatan selepas jualan yang percuma.

Pelanggan Che Pah hanya perlu tunggu di rumah. Tidak perlu kecoh kecoh ke pasar dekat dekat Hari Raya. Sampai masa ayam yang sudah siap disembelih, dipotong ikut keperluan mereka dan bersih sampai ke depan pintu rumah.

Lagi dua hari sebelum raya, Che Pag tangkap semua ayam yang ada. Ayam daging senang ditangkap tidak seperti ayam kampung. Mereka tidak kuat berlari kerana badan yang terlalu gemuk.

Maka tidaklah perlu kita kejar sekampung seperti ayam kampung. Kadang kadang tergelak juga tengok ayam daging berlari. Terhemap hempap.

Che Pah ikat kaki ayam. Che Pah gantung pada handle basikal. Kedua dua handle basikal dan kotak di belakang basikal penuh dengan ayam.

Che Oah kayuh laju laju ke pasar agar cepat sampai. Penat juga. Berat juga ayam ni, kata hati Che Pah.. Tapi takpe demi duit aku buat juga, getus hati Che Pah. Itulah Che Pah.Pasal duit semangat terus.

Sampai di pasar Che Pah bawa ke tempat sembelih. Semua mereka baik dengan Che Pah. Che Pag serahkan ayam dan tulis satu persatu ikut tempahan.

Setelah siap, di luar plastik beg Che Pah tulis nama pelanggan. Ini bagi memudahkan Che Pah membuat serahan.

Che Pah kayuh lagi basikal balik ke rumah. Tetapi kali ini dengan stok ayam yang sudah siap disembelih. Hati Che Pah berbunga riang.

Dalam minda Che Oag sudah mengira untung yang bakal diraih. Sambil bawak basikal Che Pah senyum sendiri. Kayalah aku lepas ni.

Itulah Che Pah. Zaman kanak kanak Che Pah berbeza dengan kanak kanak lain. Che Pah tidak ke luar bermain dengan kawan kawan. Emak tidak kasi.

Jadinya saya berulit dengan Emak serta bermesra dengan alam dan tanah.Guru Che Pah adalah Emak. Emak didik Che Pah ilmu mandiri. Maka sekarang ke mana saja Che Pah pergi, Che Pah pandai membawa diri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast