Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 30 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus menggunakan ubat untuk merawat malaria, Hydrochloroquine bagi merawat pesakit positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ubat itu masih boleh digunakan namun diberikan secara berhati-hati kepada pesakit Covid-19 dalam kategori satu hingga dua.

“Kalau kita guna pada pesakit pada peringkat awal jangkitan ia dapat mencegah daripada merebak ke kategori empat dan lima. Tetapi ada kesan samping.

“Juga ada kesan terhadap selang denyut jantung kita kena hentikan penggunaan kalau tidak ia akan menyebabkan jantung terhenti,” katanya dalam sidang media di KKM, hari ini.

Noor Hisham menjawab pertanyaan media mengenai laporan bahawa Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah menghentikan sementara ujian klinikal Hydrochloroquine sebagai rawatan berpotensi untuk Covid-19.

Semalam, Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, keputusan itu dibuat selepas kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan, The Lancet, minggu lalu, menunjukkan bahawa ubat itu dapat meningkatkan risiko kematian dalam kalangan pesakit Covid-19.

Mengulas lanjut Noor Hisham berkata, KKM akan memantau penggunaan Hydrochloroquine kepada pesakit positif Covid-19 kerana ia melibatkan fungsi jantung.

“Setiap ubat ada kesan samping. Kalau kita lihat pada ubat Hydroxychloroquine kita guna ubat itu kita kena pantau kesan samping itu. Antara kesan samping yang membimbangkan seluruh dunia ialah kesan samping pada jantung iaitu selang denyut jantung lebih panjang (QT intervals).

“Ia juga ada kesan samping kepada mata menyebabkan kepada blurry vision (kabur),” katanya. – MalaysiaGazette