Orang ramai keluar bersiar-siar atau 'windows shopping' di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 26 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Tahap kesedaran orang ramai terhadap kepentingan mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memutuskan rantaian Covid-19 agak tinggi apabila mereka keluar untuk mencari barang keperluan di pasaraya.

Ini termasuklah memakai penutup hidung dan mulut, menggunakan cecair pembasmi kuman dan mengamalkan penjarakkan sosial sekurang-kurangnya satu meter apabila beratur sebelum memasuki ke sesuatu tempat awam.

Bagaimanapun, tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati tahap kepatuhan itu bagaikan lenyap begitu sahaja ketika mereka keluar bersiar-siar atau ‘windows shopping’ bersama rakan mahupun pasangan kekasih.

Ketidakpatuhan itu boleh dilihat di sekitar tempat tumpuan awam di sepanjang Jalan Bukit Bintang dan Suria KLCC di mana orang ramai kelihatan berkumpul dalam jumlah ramai tanpa sebarang teguran dan kawalan.

Orang ramai keluar bersiar-siar atau ‘windows shopping’ di Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 26 MEI 2020

Orang ramai hanya kelihatan berdisiplin dengan beratur dan mengamalkan penjarakkan sosial apabila memasuki sesuatu premis yang mewajibkan mereka mengimbas suhu badan dan menulis butiran diri.

Kesesakan juga dapat dilihat apabila orang ramai menunggu di lampu isyarat sebelum melintas jalan secara serentak, sekaligus tidak mempedulikan penjarakkan sosial.

Walaupun ada pihak keselamatan premis tertentu memberi nasihat kepada orang ramai agar tidak bergerak rapat dan bersesak, namun jumlah yang ramai menyebabkan penjarakan sosial sukar diamalkan.

Tidak kurang pula kelihatan beberapa warga asing yang berswafoto secara berkumpulan dan tidak mengendahkan penjarakkan sosial di tempat awam.

Beberapa warga asing yang berswafoto ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 26 MEI 2020

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di Taman KLCC pula mendapati, pihak keselamatan di situ tidak membenarkan orang ramai berkumpul dan memasuki kawasan itu untuk bersiar-siar.

Sebaliknya hanya mereka yang mahu bersenam sahaja dibenarkan memasuki dan menggunakan taman tersebut.

Langkah itu bagi mematuhi SOP KKM yang mengesyorkan orang ramai agar mengelakkan diri daripada 3S iaitu tempat sesak, tempat sempit dan tertutup serta bersembang dekat-dekat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast