PETALING JAYA – Enam penghantar makanan Foodpanda mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan melakukan rusuhan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.
Pengakuan dibuat di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah pagi ini.
Mengikut kertas pertuduhan, kesemua enam penghantar makanan itu bersama 10 orang lain yang masih bebas melakukan rusuhan di Restoran Dong Ding, Jalan Puteri 7/ 13A, Bandar Puteri, Puchong, pada jam 6.20 petang, 18 Mei lalu.
Keenam-enam penghantar makanan terbabit ialah Muhammad Hafiz Yusnan, 21, Muhamad Izzat Abd Bari, 22, Mohd Syukri Achyar, 39, Wan Hafizie Wan Hanapi, 29, Jaya Kantha Kumaran Sivarathinam, 31 dan Amirul Zahari Zailani, 25.
Kesemua mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, semua tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Selangor, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim.
Terdahulu kesemua tertuduh ditawarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi satu pertuduhan berkenaan.
Bagaimanapun peguam, Jaya Kantha Kumaran memohon jumlah jaminan dikurangkan memandangkan ada antara tertuduh menyara ibu bapa dan kakaknya yang juga seorang ibu tunggal dengan tiga anak.
Majistret bagaimanapun mengarahkan tertuduh membayar RM2,500 dengan seorang penjamin bagi satu pertuduhan tersebut.
Majistret juga menetapkan 13 Julai ini sebagai tarikh sebutan kes berkenaan. – MalaysiaGazette