KUALA LUMPUR – Pertahanan kiri Kedah, Azmeer Yusof memberi nasihat khusus buat pemain-pemain bola sepak di Malaysia mengenai pengurusan kewangan.
Menurutnya, ia adalah berdasarkan pengalamannya yang pernah membeli tujuh buah kereta ketika di zaman kemuncaknya.
Ketika itu dia memiliki pendapatan tinggi dan hidup mewah namun tidak memikirkan langsung mengenai masa depannya.
Azmeer berkata yang beliau merasa terkilan kerana dengan gajinya sebagai pemain sejak 2009, dia boleh menyelesaikan semua hutangnya tetapi banyak perkara yang disifatkannya ‘bodoh’ telah dilakukannya termasuk memiliki lima kad kredit.
“Ada sesuatu yang mahu saya kongsikan kepada anda semua terutamanya pemain-pemain bola sepak yang sedang merasa gaji besar sekarang ini.
“Tahun 2014 saya cuba beli rumah, tetapi permohonan pinjaman tidak lepas. Sebab apa? Sebab pinjaman peribadi, kad kredit, kereta dan lain-lain. Bodoh kan?” tulisnya di laman Fanpage Facebook, Azmeer Yusof 25.
Ketika dunia dilanda pandemik Covid-19, ramai pemain bola sepak yang terkesan terutamanya apabila saingan liga dihentikan.
Walaupun Malaysia masih belum memiliki keputusan rasmi mengenai saingan liga musim ini, namun kesannya sangat terasa terutamanya kepada beberapa pasukan yang dilihat mengalami masalah tunggakan gaji seperti Kedah dan Kelantan.
Namun ada juga pemain bola sepak yang berkongsi gambar kereta mewah mereka di laman sosial seperti penyerang keangsaan iaitu Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh.
Sementara itu, Azmeer turut menekankan kebaikan memiliki rumah pada usia muda sebagai pelaburan masa depan.
Berikut adalah nasihat pemain berusia 30 tahun kepada pemain-pemain bola sepak terutamanya di Malaysia yang sangat berguna untuk dijadikan panduan iaitu:
1) Jangan mohon kad kredit (kalau tak mampu berdisiplin membayar.)
2) Jangan mohon pinjaman peribadi.
3) Simpan duit (unit amanah, ASB tabung)
4) Jangan beli kereta dulu (tak pun beli kereta terpakai atau yang murah. Nak Honda atau Toyota baru, belilah selepas beli rumah)
5) Kurangkan beli benda-benda mahal yang akhirnya tak pakai dan letak muzium.
6) Beli emas & simpan. Time sesak boleh pajak. Time senang tebus balik.
7) Insurans penting, jadi apa2 nanti ada gak tolong cover.
8) Berhenti merokok..! (Kebanyakkan players merokok)
9) BELI RUMAH !!!!! – MalaysiaGazette