AMPANG – Para penduduk Taman Kelab Ukay di Bukit Antarabangsa mendakwa pergerakan tanah di kawasan mereka memang sudah seringkali berlaku sejak tahun 2008 lagi.
Sejak itu, setiap kali hujan lebat berpanjangan akan menyebabkan keruntuhan cerun.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kelab Ukay, Syed Zulkifli Syed Masir, 58, berkata, taman mereka merupakan taman perumahan terawal yang bertapak di Bukit Antarabangsa iaitu sekitar tahun 80-an lagi dan teknologi penahan tanah runtuh mungkin sudah tidak sesuai lagi.
Mengulas mengenai kejadian tanah runtuh awal pagi tadi, beliau menerima panggilan daripada salah seorang penduduk dan bergegas ke tempat kejadian.
“Saya terima panggilan tuan rumah nombor dua (di kawasan kejadian) memaklumkan tembok penahan pecah dan tanah cerun tebing anak Sungai Sering belakang tujuh buah rumah itu runtuh.
“Saya terus bergegas ke lokasi kejadian dan apabila sampai, pasukan bomba dan penyelamat dan semua pihak berkuasa lain sudah ada.
“Seperti yang anda saksikan sekarang tebing longkang besar itu pecah dan pasir sudah tertimbus sehingga ke kawasan berhampiran perumahan di bawah bukit.
“Cuma nasib baik kali ini tiada kecederaan nyawa atau kerosakan harta benda teruk dan penduduk semua selamat dipindahkan dan dibantu,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Syed Zulkifli mengakui banyak insiden melibatkan tanah runtuh berlaku termasuk pokok tumbang semasa hujan lebat di kawasan yang sama.
Ujar beliau hujan lebat sejak bulan Ramadan sehingga sekarang mungkin antara faktor yang mengakibatkan kejadian itu berulang.
“Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kena betulkan semula keadaan dengan segera supaya tidak berulang lagi.
“Bukit Antarabangsa memang sinonim dengan insiden seumpama yang lebih kerap berlaku, dulu tahun 2008 berlaku juga di sini dengan kehilangan nyawa cuma kali ini tiada sebegitu teruk tapi membimbangkan.
“Ini antara taman perumahan terawal yang dibangunkan pada seitar 1985, malahan kalau tengok tembok tebing dan sistem perairan memang dibina tahun 80-an walaupun ada penambahbaikan susulan selepas itu.
“Tetapi saya pasti aktiiti cerun dan pergerakan tanah aktif sentiasa dan pertubuhan bukan kerajaan yang ada di sini sentiasa memantau dan menilai situasi sepanjang masa yang mana mereka arif tentang alam sekitar,” ujarnya lagi.
Justeru beliau mahu tindakan pantas penyelesaian secara menyeluruh dan tetap dilakukan semua pihak berwajib demi keselamatan penduduk.
Seorang lagi penduduk, Ahmad Jusoh, 51, terkejut setelah melihat keadaan tebing cerun tanah di belakang tujuh unit rumah di Jalan Kelab Ukay 4 itu runtuh dan ia amat menakutkannya.
“Selepas itu kami pergi tengoklah tadi, memang teruk sungai belakang ini memang berpasir jadi tebing dia pecah akibat hujan lebatĀ yang mana perumahan ini tidak pernah “rehat’ tanpa hujan lebat setiap minggu.
“Lagipun kami sedar kawasan ini memang aktif pergerakan tanah berisiko berlaku kejadian tanah runtuh yang pernah berlaku pada tahun 2008.
“Lagi pun aliran air anak sungai belakang perumahan ini memang deras setiap kali hujan lebat apatah reka bentuk parit belakang rumah ini kalau tengok teknologi 80-an.
“Kalau hendak guna pakai teknologi dan reka bentuk lama memang tak sesaui dia kena pakai dengan penahan lebih kuat kali ini menerusi penambahbaikan,” ujarnya.
Menurut Ahmad, aduan demi aduan sudah banyak kali dibuat oleh penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan namun usaha pencegahan yang dibuat masih belum mampu menyelesaikan masalah yang timbul.
“Ada juga insiden pokok tumbang di tebing sungai belakang kawasan perumahan ini setiap kali hujan lebat malah sungai ini pun disebabkan kawasan berbukit aliran sungai sewaktu hujan lebat memang kuat.
“Aduan itu sentiasa ada dan persatuan aktif alam sekitar juga sini sentiasa memantau masalah ini dan merujuk pihak berkuasa,penting PBT ambil serius kebimbangan dan cari penyelesaian tetap tanpa melengahkan masa,” tegasnya.- MalaysiaGazette