KUALA LUMPUR – Kerajaan masih kekal dengan prosedur operasi standard (SOP) musim perayaan sama ada bagi umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri Ahad lalu atau bagi masyarakat Sarawak menyambut perayaan Hari Gawai esok.
Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, SOP sambutan Hari Gawai juga hanya dibenarkan ziarah menziarahi pada hari raya pertama sahaja dengan peraturan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya terlebih dahulu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat Hari Gawai kepada warga Sarawak yang akan disambut esok.
“Sama seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan sebelum ini, tentunya sambutan Hari Gawai amat berbeza dari tahun-tahun sebelumnya.
“Ingin diingatkan sambutan hanya dibenarkan untuk hari raya pertama sahaja dengan kapasiti 20 ahli keluarga dan jiran terdekat,” katanya pada siding media khas pandemic Covid-19 di Putrajaya, hari ini.
Jelas beliau, penularan wabak Covid-19 telah mengubah cara persiapan dan sambutan perayaan itu.
Namun, katanya, rakyat harus mengadaptasi diri kepada norma baharu dan perlu memastikan disiplin diri sentiasa diamalkan bagi sama-sama membanteras pandemik ini.
Sementara itu, menurut Ismail Sabri, kerajaan telah memutuskan waktu operasi mesin juruwang automatic (ATM) yang sebelum ini dihadkan sehingga jam 8 malam akan beroperasi seperti biasa mulai esok, 1 Jun 2020.
Jelas beliau, larangan operasi itu dikuatkuasakan sejak Perintah Kawalam Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu dari hanya 8 pagi hingga 8 malam.
“Mulai esok peraturan ini dilonggarkan kepada waktu operasi seperti biasa, bagi memudahkan urusan perbankan orang ramai.
“Bagaimanapun, orang ramai perlu mematuhi SOP PKP iaitu penjarakan sosial satu meter ketika berurusan di mesin ATM,” katanya. – MalaysiaGazette